Semua tapak perkhemahan di Pulau Pinang ditutup sementara

Chow Kon Yeow - Foto Bernama
Chow Kon Yeow - Foto Bernama
A
A
A
GEORGE TOWN - Pulau Pinang mengarahkan semua operasi tapak perkhemahan di negeri itu ditutup sementara bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini susulan insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali di Selangor.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tindakan itu diambil susulan arahan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

"Kami minta semua pemilik tapak perkhemahan di Pulau Pinang sama ada yang berdaftar atau tidak dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar menutup sementara atas faktor keselamatan dan arahan daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Memang banyak di seluruh negara pelanggaran undang-undang kerana memulakan operasi tanpa kelulusan dalam apa jenis kegiatan termasuk tapak perkhemahan juga namun kategori ini (tapak perkhemahan) tidak dikesan banyak berlaku di Pulau Pinang, ada satu dua sahaja jadi mereka juga perlu patuh untuk menutup operasi,'' katanya kepada pemberita malam tadi.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidariti Fun Ride di Dataran Queensbay, pelepasan acara itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut hadir Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Lebih 3,000 peserta menyertai kayuhan sejauh 73 kilometer (KM) membabitkan laluan di atas Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di kedua-dua hala dan jalan sekitarnya.

Sementara itu, mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, terdapat tapak perkhemahan dikenal pasti berisiko tinggi kerana terletak di kawasan cerun bukit iaitu Suling Hill, di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Taman Bandaraya, di Timur Laut telah diarahkan ditutup oleh PBT pada Sabtu.

Katanya, selain itu, kerajaan negeri juga mempunyai garis panduan melibatkan pembangunan lereng bukit kerana Pulau Pinang pernah ditimpa bencana tanah runtuh melibatkan kehilangan nyawa.

''Sebarang pembangunan lereng bukit, sama ada membina kediaman atau apa juga pembangunan termasuk tapak perkhemahan tertakluk kepada garis panduan dan syarat-syarat ditetapkan,'' katanya.
Artikel Berkaitan:


Ketika diminta mengulas mengenai kawasan pelancongan di kawasan bukit seperti di Bukit Bendera, Kon Yeow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera (PBBPP) berkata pemantauan di kawasan tersebut sentiasa dijalankan oleh pihak PBBPP.

"Kawasan Bukit Bendera memang ada berlaku tanah runtuh, boleh dikatakan berlaku beberapa kejadian setiap tahun dan pemantauan di jalankan oleh PBBPP, jika berlaku tanah runtuh ia akan dibaiki oleh mereka (PBBPP) kita juga ada satu tapak perkhemahan di banglo yang dimiliki kerajaan negeri di Bukit Bendera, ia juga diarahkan tutup sementara,'' ujarnya.

Sebelum ini, Kor Ming mengarahkan semua tapak perkhemahan berhampiran sungai dan lokasi berisiko tinggi di seluruh negara ditutup selama tujuh hari, berkuat kuasa serta-merta susulan ramalan hujan lebat berterusan selama lima hari berikutan Monsun Timur Laut. -Bernama

TAG:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!