'Misi terakhir emas Olimpik Paris 2024' - Azizulhasni

Azizulhasni
Azizulhasni
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang tekad terus berjuang untuk mencapai misi terakhirnya menggapai pingat emas di Sukan Olimpik Paris pada 2024 nanti.

Menurutnya, walaupun menjalani pembedahan selepas disahkan mengalami masalah jantung yang berisiko tinggi menyebabkan degupan terhenti secara mengejut, ia bukan halangan untuk beliau merealisasikan peluang emas di temasya terbesar dunia itu.

Walaupun menjalani pembedahan jantung pada awal tahun ini, saya tidak melihat ianya menjadi halangan buat saya terus berjuang untuk negara dan beraksi di Olimpik Paris 2024 nanti Insya-Allah.

"Sudah tentu juga masih dengan misi (terakhir) untuk menggapai pingat emas," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.

Mohd Azizulhasni yang masih segar dengan kejayaan meraih pingat emas acara pecut pada edisi ke-125 Austral Wheelrace di Melbourne, Australia pada Sabtu mengakui gembira dengan kejayaannya itu.

Beliau berkata, kejayaan dalam acara pecut dan kedua dalam acara keirin memberikan mata penting untuknya layak ke Nation Cup awal tahun hadapan yang merupakan proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya juga melihat ada peningkatan yang sangat drastik dalam prestasi saya berbanding pada perlumbaan pertama saya di UCI TCL dahulu, syukur.

"Ini jelas menunjukkan jika kita sentiasa berusaha dengan gigih tanpa rasa berputus asa, kejayaan itu akan pasti berdamping dengan kita tidak kira tua atau muda Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau juga mengakui bangga kerana dapat mengharungi perlumbaan tersebut walaupun perlu menguruskan semua persiapan sendirian tanpa bantuan sesiapa.

"Sayalah atlet, sayalah mekanik, sayalah 'helper diri' saya dan sayalah jurulatih sendiri. Bukan mudah berlumba di peringkat tertinggi dan perlu uruskan semua perkara ini kerana masa pemulihan adalah amat kritikal, setiap saat sangat bermakna.

"Ditambah dengan usia pertengahan 30-an ini, proses recovery agak perlahan dan tidak seperti ketika di usia 20-an dahulu.

"Saya melakukan 'warm-up' seorang diri, saya tukar 'gearing' sendiri dan pelbagai perkara saya lakukan secara multitasking ketika perlumbaan berlangsung dan ini adalah kali pertama saya perlu berhadapan dengan cabaran sebegini rupa, pada usia sebegini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!