Isu keluar Umno: Terimalah dengan berlapang dada
SHAH ALAM - Kelumpuhan Umno Sabah selepas hampir kesemua anggota jawatankuasa badan perhubungan negeri itu yang mengumumkan keluar parti secara beramai-ramai harus diterima dengan terbuka dan berlapang dada.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sudah pastinya tindakan pemimpin Umno Sabah yang keluar daripada Umno adalah perkara yang besar.
Menurutnya, akan tetapi, semua pihak harus menerima keputusan ini dengan terbuka dan rasional.
"Umno harus mengambil pendekatan yang positif dalam berhadapan dengan isu ini, tidak boleh melenting dan tidak boleh beremosi secara melulu.
"Jika itu keputusan dan ketetapan pemimpin Umno Sabah, Umno Semenanjung wajar hormati. Isu ini melibatkan kesetiaan dan kebersamaan dan kedua-dua perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa-paksa dan wajar dijual beli. Ia mesti hadir dengan keterbukaan dan secara suka rela," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, semua pendukung Umno bagaimanapun disaran untuk terus menjalinkan hubungan dengan pemimpin di Sabah dan Sarawak walaupun tidak lagi dalam parti yang sama.
Katanya, silaturahim dan perjuangan di antara pemimpin Melayu Semenanjung dan Pemimpin Bumiputera Sabah & Sarawak mesti diteruskan.
"Saya yakin, apabila tiba PRU15 akan datang, sekiranya Umno di Semenanjung dapat menguasai semula parlimen-parlimen Melayu, Umno boleh bergabung dengan pemimpin Bumiputera Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.
"Dengan strategi kerjasama antara parti Melayu Semenanjung dan parti Bumiputra Sabah dan Sarawak ini sahajalah DAP dan pakatan mereka boleh ditewaskan," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengakui ada kebenarannya bahawa pendukung Umno mesti mengelakkan parti itu daripada menjadi semakin kecil dan lemah.
"Tetapi proses ini tidak boleh berlaku dengan cara yang memaksa kita membuat musuh baru dan kehilangan rakan yang ada. Apa yang pasti, agenda memulih dan menguatkan kembali Umno akan terus diusahakan sehingga parti ini kembali diyakini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!