Pam air berkuasa tinggi atasi masalah banjir genang - TPM

Ahmad Zahid (dua dari kiri) bertemu mangsa banjir ketika mengadakan lawatan ke PPS di SK Sungai Tiang Darat di sini pada Ahad.
Ahmad Zahid (dua dari kiri) bertemu mangsa banjir ketika mengadakan lawatan ke PPS di SK Sungai Tiang Darat di sini pada Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan akan menempatkan segera pam air berkuasa tinggi di kawasan-kawasan bencana bagi mengatasi masalah banjir genang di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koordinasi akan dibuat bersama-sama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk menentukan lokasi atau kawasan yang memerlukan pam berkuasa tinggi dengan segera.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan bagi memastikan air banjir genang dapat dialir keluar seterusnya masalah berkaitan banjir dapat diselesaikan.

Saya akan meneliti pam-pam berkuasa tinggi ini yang terdapat di dalam simpanan mana yang sedia ada dan jika ia perlu diimport segera, maka saya harap JPS akan bersama-sama NADMA dan APM dapat mengemukakan cadangan ini mengikut tatacara pembelian, tetapi langkah-langkah segera hendaklah dilakukan. Jangan menunggu begitu lama kerana rakyat sengsara jika banjir ini tidak dapat diatasi.

"Apabila air mula surut, terdapat permasalahan dari segi pembaikan rumah, dari segi pembaikan infrastruktur dan berlakunya penyakit pasca banjir yang harus diatasi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang Darat di sini pada Ahad.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, bagi menyelesaikan masalah banjir genang di kawasan Parlimen Bagan Datuk, sebanyak RM80 juta diperuntukkan bagi mengatasi isu berkenaan.

Katanya, peruntukan tersebut bagi tujuan tebatan banjir yang telah diluluskan dan akan bermula pada tahun hadapan dalam tempoh masa tiga tahun untuk disiapkan.

"Saya telah mendapat anggaran perbelanjaan keseluruhan untuk tebatan banjir bagi membina ban-ban di kawasan-kawasan yang sangat sensitif terhadap kenaikan paras air laut dan di kawasan-kawasan yang sukar untuk penyedutan air itu dibawa ke laut atau melalui sungai-sungai besar.

Artikel Berkaitan:

"Untuk kawasan yang telah diluluskan ia mengambil tempoh selama tiga tahun bermula tahun hadapan, tetapi saya akan mencari jalan supaya proses dan kelulusan tender dapat disegerakan. Saya tidak mahu setiap tahun berulang dan hadapi permasalahan sama disebabkan oleh kekangan tatacara perolehan," katanya.

Ahmad Zahid juga turut meminta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Jabatan Pertanian untuk membantu petani yang kehilangan pendapatan akibat kawasan tanaman mereka musnah disebabkan bencana banjir.

Dalam pada itu, kejadian banjir genang yang berlaku di tiga kampung di Bagan Datuk menyebabkan seramai 19 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke PPS di SK Sungai Tiang Darat di sini.

PPS tersebut dibuka pada 16 Disember lalu selepas rumah penduduk di Kampung Sungai Belukang, Kampung Sungai Tiang Darat dan Kampung Sungai Nipah Darat dinaiki air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!