1,740 PPRT dibina di Sabah tahun ini
KOTA KINABALU - Kerajaan akan membina 1,740 unit kediaman melalui Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh Sabah tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, selain itu kerajaan juga akan membaik pulih 445 unit PPRT di Sabah tahun ini, dan ia dilaksanakan di bawah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) peringkat persekutuan seperti GiatMara dan Felcra.
“Bagi Fasa 1, sejumlah 225 buah pembinaan baharu PPRT dilaksanakan dan ia termasuk 15 pembinaan baharu dan 50 membaik pulih PPRT di kawasan DUN Paginatan,” katanya dalam jawapan bertulis pada Sidang DUN Sabah di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) yang bertanya sama ada kementerian bercadang membina rumah PPRT dan membaik pulih rumah di kawasan Paginatan.
Ewon berkata, jumlah pembinaan baharu PPRT adalah tertakluk kepada peruntukan yang diluluskan KPLB di peringkat persekutuan.
“Objektif utama PPRT adalah meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih tempat kediaman mereka dengan lebih selamat dan selesa,” katanya.
Sementara itu, Ewon berkata, KPLB Sabah sudah menganjurkan pelbagai program dan aktiviti seperti Karnival Usahawan Desa dan Dialog Usahawan Kecil Desa untuk memberi maklumat kepada masyarakat mengenai peranan KPLB.
Selain itu, beliau berkata KPLB juga menyertai pelbagai pameran melibatkan keusahawanan desa seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan; Pesta Kudat; Pesta Gata Sipitang; Regatta Lepa Semporna; Festival Beaufort; Tadau Kaamatan serta pameran lain yang dianjurkan kementerian.
“Pejabat-pejabat daerah di bawah kawal selia pentadbiran KPLB Sabah juga memainkan peranan penting sebagai pusat pentadbiran, perkhidmatan dan kepimpinan, rujukan, maklumat, bantuan, penyelarasan pelbagai program kerajaan, pelaksanaan dasar dan undang-undang serta nadi pentadbiran dan imej kerajaan di peringkat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!