Lafaz IBR bukti BHEP UiTM tolak rasuah

Mohd Sazili (tengah) melafazkan ikrar IBR bersama warga BHEP UiTM sambil disaksikan oleh Alias.
Mohd Sazili (tengah) melafazkan ikrar IBR bersama warga BHEP UiTM sambil disaksikan oleh Alias.
A
A
A

SHAH ALAM – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) melakukan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai iltizam dan kesungguhan jabatan itu menolak amalan rasuah serta isu salah guna kuasa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, menerusi IBR yang dilakukan, semua petugas dan warga BHEP dapat melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Beliau berkata, satu harapan besar ke atas semua petugas yang diberikan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab menerusi jalan yang betul tanpa sebarang penyelewengan.

"IBR akan mengingatkan warga BHEP untuk mencari rezeki secara halal dan diberkati, selain sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterima.

"Bekerjalah bersungguh–sungguh dan terus berusaha sebaik mungkin untuk memajukan diri dengan kudrat sendiri.

"Menjadi pekerja yang cemerlang dan berdisiplin perlu bermula dalam diri masing-masing, sekali gus berjaya membentuk diri menjadi seorang individu yang berintegriti walaupun perkara ini bukan suatu perkara yang mudah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis lafaz IBR dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Selangor dan Unit Integriti UiTM di Kolej Seroja UiTM Shah Alam, Selangor.

Majlis lafaz IBR itu membabitkan 250 kakitangan BHEP UiTM.

Artikel Berkaitan:

Mohd Sazili (depan, tiga dari kanan) menyerahkan perjanjian menyokong membanteras jenayah rasuah kepada Alias.
Mohd Sazili (depan, tiga dari kanan) menyerahkan perjanjian menyokong membanteras jenayah rasuah kepada Alias.

Turut hadir, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim dan Ketua Unit Integriti UiTM, Mohd Hafiz Ramlee.

Mengulas lanjut, Mohd Sazili berkata, BHEP UiTM meliputi 14 buah pejabat, institut, pusat, unit dan lapan kolej kediaman di bawah seliaan pejabat Timbalan Naib Canselor HEP.

Kata beliau, jumlah penyeliaan yang besar itu secara tidak langsung boleh mendedahkan petugas kepada salah laku rasuah.

Oleh itu katanya, melalui lafaz ikrar integriti IBR itu akan dapat meningkatkan lagi semangat dalam diri warga UiTM untuk terus bersatu dan bekerjasama memajukan lagi universiti kebanggaan negara di persada dunia, selaras dengan visi dan misi UiTM.

Jelas beliau, IBR merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh SPRM bertujuan memberi penekanan dan meningkatkan iltizam untuk semua pihak menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya melibatkan amalan rasuah.

"IBR telah dilaksanakan di pelbagai kementerian, jabatan dan agensi di seluruh negara.

"Justeru, kefahaman, penghayatan dan kesedaran kepada nilai positif perlu diterapkan supaya konteks integriti dapat difahami secara keseluruhannya.

"Ini sekali gus membantu menangani isu berkaitan integriti seperti rasuah, penyelewengan kuasa, pecah amanah dan penipuan," katanya.

Tambah beliau, IBR memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warganya secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab dalam tugas seharian.

Tegas beliau, integriti merupakan sesuatu sikap yang sewajarnya wujud sama ada dalam individu atau organisasi, sekali gus dapat dikaitkan dengan etika iaitu merupakan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi sesuatu profesion.

"Agama Islam juga menggalakkan umatnya supaya bersikap amanah, jujur, muhibah dan kasih sayang dalam bekerja selagi tidak melanggar hukum hakam syarak agar membentuk pekerja yang berjaya dan bertakwa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!