Banjir: 12 laluan ditutup kepada lalu lintas di Kelantan
Menurut portal laman rasmi Pengurusan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui http://bencanaalam.jkr.gov.my, empat laluan ditutup kepada semua lalu lintas manakala lapan laluan lagi ditutup kepada kenderaan ringan sahaja.
Laluan yang ditutup kepada semua kenderaan ialah dua di Tanah Merah iaitu jalan masuk ke loji air Bukit Remah dan Jalan Bukit Panau - Bendang Nyior, serta dua di Pasir Mas iaitu Jalan Pengkalan Rakit - Batu Karang dan jalan Sekolah Kebangsaan Tok Deh.
Sementara itu, empat laluan di Pasir Puteh ditutup kepada kenderaan ringan melibatkan jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu, FT003 jalan Kota Bharu - Kuala Terengganu (Panggong 3 Daerah), jalan Pasir Puteh - Gong Kelih (Kampung Chengal Pulas) dan jalan Gaal - Kampung Bukit.
Di Kuala Krai pula, dua laluan yang ditutup kepada kenderaan ringan melibatkan jalan Sg. Durian -Chenulang dan jalan Bukit Sireh - Kampung Bedal - Kuala Nal.
Di Pasir Mas, dua laluan iaitu jalan Tok Deh - Gual Periok dan jalan Bakat - Kubang Kuau turut ditutup kepada kenderaan ringan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!