Banjir: APM selamatkan warga emas pesakit angin ahmar di Jertih
Muhamad Abdullah, 71, dan isterinya Hasnah Zahari, 62, yang tidak mampu berjalan, diselamatkan dengan bot milik APM selepas rumah mereka mula dinaiki air bermula jam 10 pagi Ahad.
"Suami saya yang diserang strok (angin ahmar) sejak lima bulan lepas tidak dapat berjalan dan hanya bergerak dengan bantuan kerusi roda.
"Saya pun alami masalah sama sejak 10 tahun lalu... Saya boleh lagi berjalan perlahan-lahan tapi perlukan bantuan orang lain (dipapah),” kata Hasnah ketika ditemui semasa diselamatkan anggota APM pada Ahad.
Hasnah berkata, dia berasa sangat lega selepas diselamatkan kerana dengan keadaan dirinya serta suami, keadaan lebih buruk mungkin berlaku jika mereka tidak dipindahkan dengan segera ke tempat selamat.
"Terima kasih kepada pasukan penyelamat yang segera membantu memindahkan saya dan suami serta semua mangsa banjir lain berhampiran rumah saya,” ujarnya.
Sementara itu, menurut jurucakap APM Besut, pasukan operasi seramai enam orang itu menggunakan sebuah trak dan bot bagi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Baroh Masin setelah kawasan itu mula dinaiki air akibat hujan lebat pada Ahad.
"Pasangan warga emas itu dibawa ke rumah saudara mereka dekat Pasir Akar manakala mangsa lain dari kampung tersebut dipindahkan ke surau Rumah Awam Pasir Akar. Mangsa diangkut dengan bot dari rumah mereka ke trak yang menunggu di tepi jalan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pasukan polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut terlibat dalam kerja memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya lagi, keadaan hujan lebat berterusan itu menyebabkan banyak jalan raya menghubungkan bandar Jertih ke Keruak, Hulu Besut dinaiki air menyebabkan penduduk di bahagian Hulu Besut terputus hubungan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!