Golongan muda tidak taksub parti politik, bila-bila masa boleh pilih PH: Syed Saddiq
REMBAU - Banyak perkara perlu kerajaan lakukan untuk mendukung aspirasi anak muda, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda PH berkata, golongan muda mahukan kehidupan yang lebih baik serta mahukan pelbagai isu dan kepentingan mereka ditangani seperti soal rasuah, kos sara hidup, pendidikan, perumahan dan sebagainya kerana semuanya itu dekat di hati mereka.
“Sebagai menteri dan ketua pemuda, saya bertanggungjawab untuk melaksanakan agenda perubahan itu. Kami akan mempertingkatkan usaha mendampingi golongan muda dan menyelami kemahuan serta harapan mereka terhadap kerajaan baharu ini,” katanya selepas melakukan lawatan dan menyaksikan pelatih Program Sekolah Kepimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS) di Kem Bina Negara Ulu Sepri, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata kecederungan golongan muda beralih arah kepada BN sepertimana mereka terjemahkan dalam PRK DUN Rantau baru-baru ini, membuktikan golongan itu tidak taksub dengan sesuatu parti politik.
Syed Saddiq berkata pihaknya tidak bimbang akan situasi berkenaan kerana tindakan mereka itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sebaliknya bertindak mengikut cita rasa dan pertimbangan sendiri.
"Pertama kali saya ucapkan tahniah kepada Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) atas kemenangan beliau pada PRK DUN Rantau. Jelas golongan muda yang mengundi tidak taksub pada mana-mana parti politik tetapi mereka boleh berubah kepada PH pada bila-bila masa jika kita (PH) dapat berikan khidmat terbaik kepada golongan itu,” katanya.
Syed Saddiq berkata pihaknya akan sentiasa bermuhasabah susulan kekalahan PH dalam PRK berkenaan dan perlu melihat serta menggandakan usaha bagi memenangi hati rakyat serta memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Pada program itu, seramai 128 pelajar tingatan lima dari 15 sekolah menengah membabitkan 11 sekolah dari Negeri Sembilan, tiga dari Selangor serta satu dari Putrajaya menyertai program yang bermula 14 hingga 23 April ini.
Keputusan rasmi PRK DUN Rantau menyaksikan calon BN, Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!