Pilihan raya Fiji berakhir dengan kebuntuan
WELLINGTON - Pilihan raya di Fiji berakhir dengan kebuntuan pada Ahad, susulan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Pilihan raya yang diadakan pada Rabu, menyaksikan dua pemimpin utama bersaing bagi jawatan Perdana Menteri.
Penyandangnya, Frank Voreqe Bainimarama, yang mengetuai Parti FijiFirst berdepan pencabar utama iaitu bekas Perdana Menteri dan ketua pembangkang, Sitiveni Rabuka, yang bertanggungjawab atas dua rampasan kuasa pada 1980-an.
Keputusan pilihan raya pada Ahad mendedahkan bahawa Parti FijiFirst dan gabungan antara Parti Perikatan Rakyat dipimpin Rabuka dan Parti Persekutuan Kebangsaan kedua-duanya memperoleh 26 kerusi setiap satu.
Sesebuah parti boleh membentuk kerajaan jika mereka memenangi sekurang-kurangnya 28 kerusi.
Parti Liberal Sosial Demokratik, diketuai oleh Viliame Gavoka memenangi tiga kerusi dilihat sebagai ‘king maker’ dalam menentukan sebarang gabungan bagi membentuk kerajaan.
Setiausaha Agung parti Lenaitasi Duru memberitahu The Fiji Times bahawa pihaknya sedang 'memerhati dan menunggu' apa yang ditawarkan.
"Kemudian, kami akan membuat keputusan berdasarkan apa yang terbaik untuk negara," katanya.
Bainimarama yang berkuasa sejak rampasan kuasa tentera pada 2006, memenangi pilihan raya demokratik pada 2014 dan 2018.
Lebih 90 pemerhati dari 16 negara memantau pilihan raya baru-baru ini, dengan lebih 1,000 anggota polis dikerah menjaga keselamatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!