Tragedi Batang Kali: Waris pulang dengan hiba
SUNGAI BULOH - Waris mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali, keluar dari bilik forensik dengan perasaan hiba apabila empat ahli keluarganya yang hilang dalam kejadian itu tidak berada di Hospital Sungai Buloh ketika proses pengecaman.
Waris dari Machap Jaya itu dilihat keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh pada jam 3.45 petang.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, Datuk Ginie Lim Siew Lin yang berkongsi situasi ketika menemani waris berkenaan berkata, waris berkenaan datang untuk membuat pengecaman empat mangsa melibatkan sepasang suami isteri dan dua kanak-kanak.
Menurutnya, kesemua mangsa yang ditunggu waris berkenaan belum ditemui.
"Sebuah keluarga sudah membuat pengecaman tiga mangsa dan mereka menunggu seorang lagi yang masih hilang," katanya pada Ahad.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan satu kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang mana telah melibatkan seramai 94 individu iaitu 80 pengunjung dan 14 pekerja Father's Organic Farm.
Setakat jam 9 malam pada Sabtu, sejumlah 24 mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan daripada tempat kejadian, terdiri daripada lima kanak-kanak (lelaki), dua kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).
Sementara itu, 61 mangsa telah diselamatkan, sembilan lagi masih tidak ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!