ABIM gesa bincang isu banjir dalam sidang Parlimen esok
SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa satu usul khas berkenaan bencana banjir dibentang dan dibincangkan bersama oleh semua ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat yang akan membuka tirai pada Isnin.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia susulan situasi banjir di Kelantan dan Terengganu yang semakin membimbangkan ketika ini.
Jelasnya, usul itu juga bertujuan mendesak seluruh pihak untuk bersiap siaga dalam mendepani situasi banjir besar berikutan amaran ribut petir dan hujan lebat yang bakal melanda tujuh negeri seperti dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Susulan Sidang Parlimen yang bakal berlangsung esok, selain usul undi percaya kepada Perdana Menteri serta usul rang undang-undang dan urusan kerajaan lain, ABIM menggesa supaya satu usul khas tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18, Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dibentangkan berkenaan bencana banjir untuk dibincangkan bersama oleh seluruh anggota Dewan Rakyat.
"Perbahasan turut meliputi kesiapsiagaan jentera kerajaan mendepani banjir, serta penyelarasan bantuan dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir, dan lebih utama perancangan dalam menangani impak perubahan iklim," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan bermula Isnin ini akan menjadi perhatian kerana agenda utamanya antara lain menyaksikan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.
Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov, mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.
Tambahnya, semua pihak khususnya ahli politik turut diminta supaya mengenepikan kepentingan politik kepartian, sebaliknya bersama-sama membantu menstabilkan situasi politik semasa serta memberi fokus membantu meringankan bebanan rakyat.
Selain itu, ABIM dalam masa sama turut mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa yang berkampung di ‘ground zero’ dalam menjayakan misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Selangor.
"ABIM turut mendoakan agar seluruh keluarga mangsa tragedi Batang Kali ini diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi musibah besar yang tidak diduga ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!