‘Mereka memang suka aktiviti perkhemahan’ - Waris
SUNGAI BULOH - “Mereka memang suka melakukan aktiviti perkhemahan,” kata waris setelah selesai proses pengecam mayat di Hospital Sungai Buloh pada Ahad.
Waris yang hanya mahu dikenali sebagai Mary, 58, berkata, ahli keluarga terlibat seramai empat orang iaitu sepasang suami isteri, kanak-kanak perempuan dan lelaki masing-masing berumur enam dan tiga tahun.
Mary yang merupakan adik kepada mangsa berkata, hanya tiga yang dijumpai manakala kanak-kanak perempuan masih belum dijumpai.
“Anak perempuan belum dapat lagi. Di dalam tiga sudah dikenal pasti. Kami dari Machap Baru, Melaka,” ujarnya pada pemberita pada Ahad.
Mengulas mengenai tuntutan jenazah, Mary berkata, perkara tersebut akan dilakukan pada malam Ahad.
Tambah Mary, dia mengetahui kejadian tanah runtuh tersebut melalui berita di Facebook.
Pada Jumaat, negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang melibatkan 94 individu iaitu 80 pengunjung dan 14 pekerja Father's Organic Farm.
Setakat jam 9 malam pada Sabtu, sejumlah 24 mangsa meninggal dunia berjaya dikeluarkan dari tempat kejadian, terdiri daripada lima kanak-kanak (lelaki), dua kanak-kanak (perempuan), 13 dewasa (wanita) dan empat dewasa (lelaki).
Sementara itu, 61 mangsa berjaya diselamatkan, manakala sembilan lagi masih tidak ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!