Pejabat Presiden Ukraine kritik FIFA

Mesej disampaikan Zelenskyy didakwa terlalu berunsur politik. - Foto Agensi
Mesej disampaikan Zelenskyy didakwa terlalu berunsur politik. - Foto Agensi
A
A
A

KIEV - Pejabat Presiden Ukraine mengkritik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana enggan menayangkan mesej video daripada Presiden Volodymyr Zelenskyy di Stadium Lusail di Qatar menjelang perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina menentang Perancis pada Ahad.

Menurutnya, klip video yang direkodkan dalam bahasa Inggeris bertujuan untuk menjadi 'rayuan keamanan'.

"Qatar menyokong inisiatif Zelenskyy, namun FIFA bertindak menghalang tayangan rakaman video tersebut," ujar kenyataan bertulis yang dilaporkan CNN pada Sabtu.

Ia juga menjelaskan akan mengedarkan sendiri klip tersebut jika FIFA enggan berbuat demikian.

"Keputusan FIFA jelas menunjukkan ia telah 'hilang' kefahaman tentang bola sepak yang menjadi sukan yang menyatukan masyarakat," tegasnya sambil menambah ia memberi alasan mesej disampaikan Zelenskyy terlalu berunsur politik.

Difahamkan, badan induk bola sepak dunia itu berusaha untuk mengelakkan sebarang mesej politik dipaparkan ketika Piala Dunia berlangsung di Qatar.

CNN pertama kali melaporkan tentang hasrat Zelenskyy yang ditolak FIFA pada Jumaat lalu.

Menerusi salinan klip video ucapan pemimpin itu, Zelenskyy menyatakan bola sepak adalah untuk menyatukan dunia dan turut mengaitkan isu peperangan yang sedang melanda Kiev.

Artikel Berkaitan:

"Piala Dunia membuktikan siapa negara yang paling kuat dengan beradu tenaga di padang bola dan bukan di medan perang," katanya. - Agensi