Tanah runtuh: Mangsa tertimbus tanah sedalam 1.5 meter
BATANG KALI - Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghadapi pelbagai cabaran bagi mengesan kedudukan mangsa tanah runtuh di Father's Organic Farm, di sini yang kebanyakannya tertimbus di kedalaman mencecah 1.5 meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pencarian mangsa berkenaan bertambah sukar dengan keadaan tanah berlumpur berikutan air yang mengalir tanpa henti di lokasi kejadian.
"Berdasarkan hari pertama, mayat dijumpai di kedalaman 1.5 meter (m) hingga 0.9m berikutan pergerakan tamah yang membawa bersama mangsa berkenaan ketika kejadian tanah runtuh.
"Hari pertama kita telah gunakan jengkaut dan berjaya menemui lapan mayat manakala hari kedua tiga mayat berjaya ditemui menggunakan jengkaut berkenaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini pada Ahad.
Beliau berkata, operasi SAR diteruskan pada Ahad dengan bantuan 'ground penetrating radar' (GPR) yang mampu mengesan objek di dalam tanah hingga di kedalaman lima meter.
Katanya, selain unit anjing pengesan (K9) mesin mudah alih GPR berkenaan dapat mengecilkan skop pencarian sekaligus mengurangkan beban kerja anggota penyelamat.
"Penggunaan GPR membantu kita mengecilkan skop pencarian. Apabila GPR mengesan sesuatu para petugas akan menandakan lokasi berkenaan dan kerja pengorekan akan dilakukan di titik lokasi berkenaan sahaja.
"Setakat ini sebanyak 14 titik telah ditanda bagaimanapun tidak menjumpai mayat kerana mungkin mesin berkenaan mengesan objek lain di dalam tanah," jelasnya.
Mengulas mengenai risiko yang dihadapi pasukan penyelamat, Norazam berkata pihaknya menghadapi risiko pergerakan tanah di sektor A berikutan aliran air dan cuaca hujan.
"Hujan yang turun menjadikan tanah semakin lembut dan ada air yang mengalir di lokasi jadi kita terpaksa menghentikan tugas seketika.
"Pergerakan pasukan SAR tidak agresif dan ditumpukan pada sektor yang ditetapkan sahaja bagi menjaga keselamatan anggota," katanya.
Beliau berkata, operasi SAR akan diteruskan sehingga jam 4 pagi Isnin dan akan berhenti seketika bagi memberi peluang rehat kepada pengendali jengkaut dan pasukan petugas di lokasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!