Operasi cari baki mangsa ditangguh, bersambung esok
BATANG KALI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa hilang dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting di sini, pada Ahad dihenti sementara kerana hujan lebat.
Perkara itu disahkan Pengarah Bomba Selangor, Datuk Norazam Khamis.
"Operasi dihentikan sementara pada jam 8.15 malam dan akan disambung pada esok pagi (Isnin). Penilaian akan dibuat semula berdasarkan struktur kekuatan tanah," katanya.
Setakat jam 8 malam tadi, baki sembilan mangsa yang dilaporkan masih hilang belum lagi ditemui pasukan penyelamat.
Dalam kejadian pada Jumaat, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada jam 2.24 pagi.
Seramai 94 mangsa terlibat dalam tragedi menyayat hati itu.
Daripada jumlah itu, 61 dilaporkan selamat manakala 24 lagi disahkan terkorban dan sembilan masih dicari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!