Lapan wilayah di Thailand dilanda banjir, tiga maut
BANGKOK - Hujan lebat berterusan telah mencetuskan banjir di seluruh wilayah di Thailand dan menyebabkan lebih 15,000 isi rumah terjejas.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) dalam satu kenyataan menyiarkan lapan wilayah itu ialah Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Yala, Songkhla, Narathiwat, dan Pattani di Selatan Thailand serta Amnat Charoen (timur laut) dan Chanthaburi (timur).
"Sehingga 4 petang (waktu tempatan) hari ini, 15, 696 isi rumah daripada 305 buah kampung di 33 daerah terjejas akibat banjir. Pihak berkuasa akan menyegerakan urusan membaiki kerosakan yang dialami akibat banjir,” menurut DDPM.
Sementara itu, Komander Renjer Regimen ke-45, Kolonel Thawirat Benjatikul berkata, tiga maut manakala dua terselamat apabila kenderaan yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras yang melanda Narathiwat.
Beliau berkata, mangsa sekeluarga termasuk seorang wanita berusia 68 tahun bersama anak lelakinya, 40, menantu, 38, serta dua cucunya - 14 dan 2 tahun.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dibawa lelaki 40 tahun itu dihanyutkan arus deras.
"Pasukan keselamatan bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menyelamatkan dua mangsa - lelaki dan anak lelaki berusia 14 tahun.
"Tiga lagi - wanita 60 tahun dan menantunya, 38, dan cucu, 2, terperangkap dalam kenderaan.
"Apabila pasukan menyelamat tiba di tempat kejadian, ketiga-tiga mangsa didapati tidak sedarkan diri. Mereka digegaskan ke hospital dan disahkan meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, gabenor Surat Thani, Wichawut Jinto mengarahkan semua bot untuk tidak turun ke laut susulan ombak tinggi.
Perkhidmatan feri turut dihentikan buat sementara waktu, katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran hujan berterusan dan hujan lebat di beberapa kawasan terpencil di Selatan.
"Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dengan beberapa keadaan yang mungkin menyebabkan banjir kilat dan limpahan air, terutama di sepanjang kaki bukit berhampiran sungai dan tanah rendah,” katanya.
Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran berhubung ombak setinggi satu hingga dua meter di Teluk Thailand.
"Semua kapal harus mengambil langkah berjaga-jaga, dan bot-bot kecil diarah tidak turun ke laut," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!