Cerun runtuh: LPT 2 tutup sementara sebahagian laluan

Kejadian cerun runtuh berlaku di kilometer 393.4 arah Utara menghala ke Ajil. - Foto Facebook LPT2
Kejadian cerun runtuh berlaku di kilometer 393.4 arah Utara menghala ke Ajil. - Foto Facebook LPT2
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) menutup sementara sebahagian laluan serta mengaktifkan laluan keluar kenderaan (mandatory exit) di Plaza Tol Dungun dan Plaza Tol Ajil ekoran kejadian runtuhan tanah di kilometer (km) 393.4 arah utara menghala ke Ajil.

LPT 2 Sdn Bhd memaklumkan, insiden berlaku kira-kira jam 11.30 malam Ahad itu melibatkan laluan kontra yang diaktifkan antara Bukit Besi ke Ajil di km 392.4 hingga km 394.6 arah utara menghala ke Kuala Terengganu.

Laluan kontra telah diaktifkan di km 392.4 hingga km 394.6 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan susulan kejadian banjir lumpur yang dilaporkan berlaku di km 393 pada jam 11.30 pagi pada Ahad.

"Namun satu lagi kejadian cerun runtuh berlaku di km 393.4 arah Utara menghala ke Ajil dan kejadian tersebut telah berlaku di dalam laluan kontra yang telah diaktifkan sebelum ini," katanya melalui kenyataan di Facebook rasmi jam 2.50 pagi pada Isnin.

Menurut kenyataan itu, semua kenderaan dari arah Kuantan akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Dungun manakala dari arah Kuala Terengganu akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ajil.

"Cadangan mengaktifkan mandatory exit di Plaza Tol Dungun dan Plaza Tol Ajil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak serta mengelak berlaku kejadian tidak diingini kepada pelanggan lebuh raya yang melaluli laluan itu,"kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, LPT2 menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan dikeluarkan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi LPT2line di talian 1-800 88 0220.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!