Zulfikal wira remaja selamatkan kanak-kanak nyaris lemas
KEMAMAN - Seorang remaja lelaki nekad menongkah arus deras dan ombak besar kira-kira 100 meter dari pantai demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak perempuan yang hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, di sini pada Jumaat lalu.
Muhammad Zulfikal Asmadi, 14, berkata, secara kebetulan dia bersama beberapa penduduk kampung berada di bangsal nelayan berdekatan lokasi kejadian sebelum diberitahu mengenai insiden itu.
"Sebaik tahu ada mangsa lemas, saya dan penduduk bergegas ke pantai. Dari jauh saya nampak budak perempuan itu tenggelam timbul beberapa kali. Dalam situasi cemas itu saya hanya fikir satu sahaja iaitu ingin menyelamatkan nyawa dia.
"Pada mulanya, saya nekad untuk meredah ombak, namun selepas ternampak sampan yang ditinggalkan nelayan saya terus ambil sampan itu dan mendayung mengharungi ombak sejauh 100 meter dari pantai,"katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Penunjuk, di sini, pada Ahad.
Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kijal itu berkata, sebaik menghampiri mangsa, dia meminta kanak-kanak itu berpaut pada perahu sementara dia mengayuh sehingga ke tepi pantai.
"Disebabkan perahu yang saya gunakan itu bersaiz kecil, saya tidak berani bawa kanak-kanak itu naik ke atas perahu kerana bimbang ia terbalik
"Saya minta dia bergayut dan bertahan sehingga ada beberapa individu lain yang turut sama memaut kanak-kanak itu," ujarnya.
Anak sulung dari empat adik-beradik itu berkata, dia berasa lega dan bersyukur kerana dapat menyelamatkan kanak-kanak tersebut memandangkan ketika itu ombak begitu kuat.
Muhammad Zulfikal memberitahu, dia mahir berenang dan mengendalikan sampan serta bot kerana sering mengikut bapanya, Asmadi Ripin, 42, yang juga seorang nelayan turun ke laut menangkap ikan sejak berusia 12 tahun.
"Saya biasa ikut ayah tangkap ikan dan sering terjun dari bot untuk buang objek yang terlekat pada pukat," katanya.
Sementara itu, Asmadi berkata, dia bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas anaknya dan mangsa lemas berjaya diselamatkan.
Rakaman video Muhammad Zulfikal cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut tular di media sosial sejak Ahad.
Tindakan berani remaja itu mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang memuji keberaniannya.
Dalam kejadian jam 5.30 petang pada Jumaat lalu, mangsa yang berasal dari Bandar Seri Bandi terselamat daripada lemas ketika berkelah dan mandi di pantai itu bersama ahli keluarganya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!