Jasa besar anjing K9 bantu cari mangsa di Batang Kali

Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan perkhidmatan anjing pengesan untuk mencari dan menyelamat mangsa. -Foto Bernama
Anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia menggunakan perkhidmatan anjing pengesan untuk mencari dan menyelamat mangsa. -Foto Bernama
A
A
A

FRANKIE, Blake, Denti dan Pop merupakan antara sembilan anjing pengesan (K9) yang digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang belum ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Hulu Selangor.

Sejak tragedi itu berlaku pada awal pagi Jumaat lalu, anjing-anjing pengesan berkenaan memainkan peranan yang amat besar dan penting kepada pasukan penyelamat.

Semua anjing K9 itu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibawa untuk Ops SAR tersebut.

Haiwan itu mempunyai kepakaran dalam mengesan mayat yang tertimbus di dalam tanah, di bawah batuan atau air.

Jadi Merak Jalanan hendak berikan penghargaan kepada haiwan ini dan semua pihak yang bertungkus lumus untuk mencari mangsa yang terlibat di lokasi tanah runtuh.

Berbalik kepada kisah anjing K9, Merak Jalanan teringat mengenai anjing yang dikenali Bad milik Jabatan Siasatan Jenayah Pahang yang mati akibat sakit tua pada usia 13 tahun lapan bulan, Julai lalu.Walaupun hanya seekor anjing pengesan narkotik PDRM namun jasanya membantu operasi tetap dikenang.

Anjing hitam berasal dari Jerman itu telah menabur khidmat bakti sejak 4 Ogos 2011.

Sepanjang perkhidmatan, Bad berjaya membantu pihak polis dalam dua kejayaan besar dalam menumpaskan sindiket dadah pada 2012 dan 2014.

Artikel Berkaitan:

Anjing jantan spesies Labrado itu pakar dalam pengesanan pelbagai jenis dadah di bawah seliaan Koperal Willen anak Slamping @ Sirampin.

Bad dikuburkan bersebelahan Tho yang mati pada 19 September 2020 dan pemergiannya diiringi tabik hormat oleh 10 pegawai dan anggota polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!