239 cerun dikenal pasti paling berisiko di Perak

Mohammad Nizar (kiri) bersama Hamdan ketika sidang akhbar di Bilik Media Dewan Undangan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
Mohammad Nizar (kiri) bersama Hamdan ketika sidang akhbar di Bilik Media Dewan Undangan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah mengenal pasti sebanyak 239 lokasi cerun yang dikategorikan sebagai risiko sangat tinggi di negeri ini.

Pengarahnya, Hamdan Ali berkata, selain itu sebanyak 211 lokasi dikategorikan berisiko tinggi, 642 lokasi kategori sederhana, lokasi berisiko rendah (777) dan lokasi risiko sangat rendah (1,562).

Menurutnya, daerah Batang Padang mempunyai lokasi paling tinggi bagi lokasi risiko sangat tinggi dengan 128 lokasi di sepanjang Jalan Tapah-Cameron Highlands.

"Terdapat tiga laluan yang sangat kritikal ketika ini iaitu Jalan Tapah-Cameron Highlands, Jalan Baling-Gerik (Lebuhraya Timur-Barat) dan Jalan Simpang Pulai-Blue Valley.

"Bagi tahun 2022 sebanyak 61 lokasi cerun di Jalan Persekutuan telah dibaiki melibatkan daerah Batang Padang, Hulu Perak, Kinta dan Kuala Kangsar dengan kos RM103 juta," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Dewan Undangan Negeri Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Sementara itu, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri menerusi agensi berkaitan sentiasa memantau lokasi-lokasi cerun berisiko yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, pihak JKR juga telah memasang sensor dan tolok hujan di lokasi-lokasi cerun kritikal untuk memberi amaran awal kepada jabatan tersebut bagi membolehkan tindakan pemantauan dan kecemasan dilakukan.

Jelasnya, setakat ini belum ada keperluan untuk menutup mana-mana jalan di kawasan yang berisiko memandangkan tiada tanda-tanda bahaya untuk digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Kita menasihati pengguna jalan-jalan berkenaan agar lebih berhati-hati terutama ketika musim hujan luar biasa ketika ini.

"Pemantau dibuat secara berterusan oleh pihak JKR dan konsesi yang dilantik untuk memastikan ada tanda-tanda bahaya kita akan beritahu sama perlu menutup jalan atau sebaliknya," katanya.

Antara laluan lain yang mempunyai risiko sangat tinggi termasuklah di Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, jalan masuk ke Felda Lepang Nenering, Jalan Lepang Nenering 1 dan 2, jalan masuk ke Stesen VHF Bukit Kledang, jalan masuk ke Stesen VHF Bukit Naga serta jalan masuk ke Stesen VHF Bukit Larut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!