[VIDEO] Mangsa banjir nekad pindah sendiri ke PPS

Keadaan banjir yang melanda Taman Beserah, antara lokasi terjejas di kawasan Beserah. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Ridzwan Ismail, Daud)
Keadaan banjir yang melanda Taman Beserah, antara lokasi terjejas di kawasan Beserah. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Ridzwan Ismail, Daud)
A
A
A

KUANTAN - Beberapa penduduk dari Taman Beserah dan sekitar Kampung Alor Ladang, Beserah di sini nekad datang sendiri ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah selepas air mula memasuki rumah, awal pagi pada Isnin.

Kebanyakan mereka bersiap lebih awal dan berpindah selepas semua barang diselamatkan ke tempat lebih tinggi.

Salah seorang mangsa, Daud Awang, 66 dari Taman Beserah memilih untuk datang sendiri demi keselamatan dia dan empat ahli keluarga.

Menurutnya, pengalaman melalui banjir tahun lalu membuat lebih peka dan segera berpindah tanpa menunggu bantuan pihak berkuasa.

Saya memang sudah jangka air sungai berhampiran akan melimpah memandangkan hujan lebat seharian hingga ke tengah malam pada Ahad.

"Air mula naik pada malam dan kira-kira jam 12 tengah malam air mula memasuki rumah.

"Bimbang banjir semakin buruk, saya dan keluarga ambil keputusan datang ke pusat pemindahan jam 2 pagi," katanya ketika ditemui di PPS SK Beserah di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mangsa banjir dari beberapa kawasan sekitar Beserah berada di PPS SK Beserah yang dibuka pada tengah malam Ahad.
Mangsa banjir dari beberapa kawasan sekitar Beserah berada di PPS SK Beserah yang dibuka pada tengah malam Ahad.

Bagi Sazroha Mat Zaid, 53, dari Kampung Alor Ladang juga memilih untuk datang sendiri ke PPS kerana bimbang situasi banjir menjadi lebih buruk kerana rumahnya terletak berhampiran sungai.

Dia berkata, air sungai mula melimpah kira-kira jam 7 petang dan beberapa rumah jiran mula dinaiki air.

"Ketika itu saya sudah mula berkemas, selamatkan barang mana yang patut sebelum berpindah selepas ruang dapur rumah mula dimasuki air," katanya.

Sementara itu, bagi seorang lagi mangsa dari Kampung Alor Ladang, Mohd Ridzwan Ismail, 58, dia sempat menyelamatkan barang sebelum berpindah kira-kira jam 3.30 pagi.

"Malangnya air naik lebih tinggi dari jangkaan dan tidak sempat memindahkan kembali barang rumah ke tempat lebih selamat.

"Tidak tahulah apa jadi, mungkin barang tersebut ditenggelami air dan rosak," katanya.

Mohd Ridzwan berkata, dia bersama empat ahli keluarganya nekad untuk berpindah awal pagi itu demi keselamatan.

Sehingga jam 8 pagi, seramai 554 mangsa banjir di pindahkan ke empat PPS di Kuantan.

Kawasan terjejas sekitar Beserah, Sungai Karang Darat dan Kampung Sungai Ular di sini.

PPS dibuka di SK Beserah yang menempatkan 226 mangsa dari 50 keluarga, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung (185 mangsa dari 45 keluarga), SK Sungai Karang (67 mangsa dari 20 keluarga) dan SK Sungai Ular (16 mangsa dari empat keluarga).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!