[VIDEO] Abang Viva bantu mangsa banjir di Terengganu
MELAKA - Sukarelawan bencana atau lebih dikenali sebagai Abang Viva bergerak menyertai misi bencana banjir ke negeri di pantai timur dengan menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton pada Ahad.
Azwan Omar, 30, berkata,setiba di Terengganu kumpulan sukarelawannya terus menjalankan misi menyelamatkan penduduk di kawasan Hulu Terengganu memandangkan pergerakan agak terbatas ke tempat lain kerana banyak kawasan telah dinaiki air.
"Kita bersama pasukan bomba telah mengadakan misi menyelamat penduduk di Kuala Berang, Hulu Terengganu yang terjejas banjir," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Tambahnya, menerusi Pertubuhan Gerakan Kebajikan Abang V-Va dia merancang untuk meneruskan misi menyelamat di Kelantan memandangkan keadaan semakin buruk di negeri itu.
Bagaimanapun katanya, difahamkan beberapa laluan utama ke negeri itu tidak dapat dilalui menyebabkan kumpulannya masih berada di Terengganu ketika ini.
Jelasnya, misi sukarelawan kali ini agak mencabar dengan hujan berterusan, air deras serta kedalaman air selain berdepan masalah enjin bot yang sukar dihidupkan.
"Selain menyelamat kita turut memberikan bantuan kepada mangsa banjir terjejas melalui sumbangan orang ramai menerusi akaun persatuan kita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!