Enam pengamal media terkandas banjir di Terengganu

Dari kanan Mohd Khairul Fikri, Raja Gadafi, Zatul Iffah dan Nur Fazlizai yang terkandas selepas membuat liputan banjir di daerah Setiu.
Dari kanan Mohd Khairul Fikri, Raja Gadafi, Zatul Iffah dan Nur Fazlizai yang terkandas selepas membuat liputan banjir di daerah Setiu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hujan lebat berterusan dan air naik secara mendadak menyebabkan enam pengamal media terkandas selepas membuat liputan banjir di daerah Setiu dan Hulu Terengganu.

Menurut jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohd Khairul Fikri Osman, dia dan tiga pengamal media lain iaitu Raja Gadafi Raja Mat (jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zatul Iffah Zolkiply (wartawan Harian Metro) dan Nur Fazlizai Ali (wartawan Astro Awani) membuat liputan di daerah Setiu sebelum terkandas dalam banjir.

"Air naik mendadak. Paras air di beberapa kawasan di situ agak tinggi. Pada mulanya saya nekad untuk keluar dari situ walaupun tahu tindakan itu agak berisiko untuk keselamatan nyawa dan harta benda terutama kereta dan kamera.

"Kira-kira jam 6 petang baru saya sedar banyak laluan mula ditutup kepada kenderaan ringan kerana telah dinaiki air dan terpaksa berpatah balik ke kawasan selamat," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Menurut Mohd Khairul Fikri, dia bersama rakan media lain terpaksa menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Perpustakaan Awam Daerah Setiu di Bandar Permaisuri.

Bagaimanapun, katanya, mereka terpaksa tidur di dalam kereta di pekarangan PPS kerana pusat pemindahan itu telah dipenuhi mangsa banjir.

Nur Fazlizai (kiri) berada di jalan yang dinaiki air di daerah Setiu.
Nur Fazlizai (kiri) berada di jalan yang dinaiki air di daerah Setiu.

Mohd Khairul Fikri berkata, pengalaman terkandas banjir itu yang pertama dilalui sejak bertugas di Terengganu lima tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sebagai pengamal media situasi luar jangkaan ini perlu dilalui. Namun saya agak bimbang keselamatan anak dan isteri di rumah kerana kawasan itu pernah dilanda banjir beberapa tahun lalu," ujarnya.

Zatul Iffah berkata, dia dan Nur Fazlizai cuba mencari hotel atau rumah tumpangan untuk bermalam namun semuanya telah penuh menyebabkan mereka terpaksa tidur di dalam kereta.

"Kami bersyukur kerana diuji dengan ujian ini berbanding warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan bayi yang terpaksa tidur di PPS dalam keadaan yang tidak selesa.

"Oleh kerana tiada pilihan, kami tidur sahaja dalam kereta di perkarangan PPS. Apa yang agak merisaukan ialah kami kekurangan stok makanan kerana tidak menjangka banjir di Setiu seburuk ini," ujarnya.

Zatul Iffah memberitahu, mereka sentiasa memantau perkembangan semasa banjir dan akan segera pulang ke Kuala Terengganu apabila jalan sudah boleh dilalui.

Sementara itu, dua lagi pengamal media iaitu iaitu jurugambar Utusan Malaysia, Puqtra Hairry Rosli dan jurugambar Bernama, Mohd Syafiq Ambak terkandas di daerah Hulu Terengganu, namun, setakat ini kedua-duanya gagal dihubungi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!