[VIDEO] MP Hulu Langat angkat sumpah dari tempat duduk
KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzah untuk mengangkat sumpah daripada tempat duduknya di Dewan Rakyat.
Johari memberi laluan tersebut ekoran Mohd Sany yang sebelum itu hadir berkerusi roda, tidak dibenarkan berjalan susulan baru menjalani pembedahan minggu lalu.
“Saya telah menerima satu pemakluman daripada Yang Berhormat Hulu Langat akan keadaan kesihatan beliau yang baru sahaja menjalani pembedahan pada minggu lalu.
"Beliau tidak dibenarkan untuk berjalan. Sehubungan itu saya membenarkan Yang Berhormat Hulu Langat mengangkat sumpah dari tempat duduknya,” katanya.
Mohd Sany yang kemudiannya dibantu pegawai Dewan Rakyat dilihat mengangkat sumpah dari tempat duduknya.
"Setelah dipilih sebagai seorang ahli Dewan Rakyat, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan jujur menunaikan kewajipan sebagai yang demikian, dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!