Pelantikan ikut kepakaran, kemahiran dan pengalaman - IDEAS

Tricia Yeoh
Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melahirkan harapan agar pelantikan baharu ke jawatan lembaga pengarah untuk semua Badan Berkanun Persekutuan (FSB) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dilakukan mengikut kepakaran, kemahiran dan pengalaman serta bukannya faktor politik semata-mata

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, langkah meletakkan gabungan politik sebagai kriteria pelantikan akan menjejaskan integriti sesebuah organisasi.

“Lebih-lebih lagi, terdapat risiko wujudnya konflik kepentingan apabila tokoh yang dilantik secara politik mengutamakan program yang mempunyai kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tricia berkata, IDEAS menyambut baik keputusan kerajaan menamatkan semua pelantikan politik dalam lembaga pengarah semua badan berkanun persekutuan dan GLC termasuk yang berada di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan).

Menurutnya, sebuah laman web yang memantau lantikan politik terhadap pentadbiran kerajaan Persekutuan sepanjang empat pentadbiran Perdana Menteri sebelum ini iaitu Pantau Kuasa menunjukkan terdapat lebih 200 pelantikan politik di 72 FSB di bawah kerajaan terdahulu.

Mengulas mengenai gesaan supaya kuasa budi bicara diberikan kepada Perdana Menteri dalam melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah baharu entiti awam, Tricia berkata, sesetengah perundangan badan berkanun sudah mengenal pasti entiti dan individu yang sepatutnya melantik pengerusi dan ahli lembaga pengarah.

“Oleh itu, peruntukan ini harus dihormati dan dipatuhi. Bagi GLC pula, kuasa pelantikan harus diberikan kepada entiti kerajaan yang memilikinya atau jawatankuasa pencalonan Lembaga Pengarah,” ujarnya.

Bergerak ke hadapan, IDEAS menggesa kerajaan mengeluarkan garis panduan dalam menetapkan kriteria Pengerusi dan Lembaga Pengarah demi melengkapkan ketiadaan kriteria pelantikan di peringkat badan berkanun.

Artikel Berkaitan:

Bagi GLC, Tricia berkata, Buku Hijau Meningkatkan Keberkesanan Lembaga Pengarah yang dikeluarkan Jawatankuasa Putrajaya pada tahun 2006 boleh menjadi rujukan mengenai pelantikan lembaga pengarah GLC.

“Kriteria penilaian pengarah individu dan Lembaga Pengarah secara kolektif hendaklah telus, disesuaikan dengan keperluan tertentu syarikat, dan secara jelas dikaitkan dengan akibat yang jelas untuk prestasi yang teruk.

“Usaha sebegini perlu disertakan dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang boleh meneliti dan memantau laporan tahunan Badan Berkanun dengan lebih kerap," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!