Tragedi Batang Kali: Polis kenal pasti pemilik lima kenderaan
BATANG KALI - Polis telah mengenal pasti lima daripada tujuh kenderaan di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, kesemua kenderaan tersebut ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan.
"Operasi SAR yang dijalankan pasukan penyelamat bertugas berjaya menemui tujuh kenderaan dan lima daripadanya telah dikenal pasti pemiliknya.
Dua kenderaan melibatkan mangsa yang masih hidup manakala dua milik mangsa yang telah meninggal dunia dan satu lagi milik mangsa yang masih hilang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Suffian mengingatkan agar semua pihak tidak menularkan gambar dan video yang melibatkan sensitiviti mangsa.
"Orang ramai diingatkan agar orang ramai tidak menularkan gambar atau video yang boleh mengaibkan pihak yang terlibat dalam tragedi ini," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa hilang dalam bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini masuk hari keempat pada Isnin.
Agensi penyelamat utama terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM). Turut terlibat adalah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
Difahamkan, operasi diteruskan pada jam 8 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!