[VIDEO] Annuar hormati keputusan personaliti tarik diri sertai MN
SHAH ALAM - Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menghormati perubahan pendirian beberapa personaliti yang menarik diri daripada menyertai pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskannya.
Sebagai NGO bebas kata Annuar, pendukungnya perlu komited, istiqamah dan apa yang penting adalah reda serta ikhlas dalam berkhidmat.
"Saya faham mereka jujur menyokong usaha MN, cuma pada masa ini ada perkara lain yang mereka perlu pertimbangkan.
"Saya menerima dengan baik malah amat berterima kasih," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada menyertai MN atas faktor prinsip yang disifatkan tidak sesuai dengan dirinya.
Langkah sama turut diambil oleh pelakon, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abiddin yang memaklumkan keputusannya itu dalam satu hantaran dimuat naik di Instagramnya.
Annuar yang merupakan bekas Ahli Parlimen Ketereh turut menggesa agar perkara berkenaan tidak perlu dimomokkan.
"Datuk Jamal Abdillah sahabat baik saya. Kami berkomunikasi hampir setiap hari. Ummi Nazeera umpama anak saya sendiri. Keluarga kami seperti adik-beradik. Kerjaya mereka semua lebih penting," ujarnya.
Beliau juga mengakui MN akan melalui pelbagai cabaran sambil menyifatkan tohmahan dan fitnah merupakan asam garam dalam kehidupan.
"Yang penting kita jujur dan ikhlas. Mungkin saya juga ada kesilapannya dalam mengumumkan nama-nama ahli dewan tertinggi (ADT) terlalu awal. Kita manusia biasa, tentu ada kekurangannya.
"Masih ramai kumpulan industri kreatif dan seniman yang telah menyertai MN. Kita tetap menyediakan sekurang-kurangnya dua wakil dari industri kreatif dalam ADT. Biarlah penglibatan mereka diketahui bila tiba masa sesuai," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!