Harungi banjir bawa keluar jenazah nenek

Keadaan rumah mangsa yang dinaiki air di Kampung Gaung, Jerteh di Besut, Terengganu. - Foto Media sosial
Keadaan rumah mangsa yang dinaiki air di Kampung Gaung, Jerteh di Besut, Terengganu. - Foto Media sosial
A
A
A

BESUT - Jenazah wanita warga emas yang terperangkap banjir di Kampung Gaung, Jerteh, di sini selamat dibawa ke Hospital Besut kira-kira jam 10 pagi pada Isnin.

Cucunya, Nik Mohd Faiz Mohd Khalil, 30, berkata, jenazah neneknya, Che Gayah Mohamad, 82 dibawa ke hospital menggunakan bot dan dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gaung, petang ini.

"Arwah nenek meninggal dunia akibat sakit tua di rumah sekitar jam 8 malam pada Ahad. Memandangkan keadaan banjir, ahli keluarga bercadang untuk kebumikan jenazah keesokannya.

"Bagaimanapun, air naik secara mendadak sehingga mencecah satu meter di sekitar kediaman ini bermula jam 3 pagi tadi membataskan pergerakan untuk urusan jenazah.

"Mujurlah ada sebuah bot yang menyediakan perkhidmatan penghantaran jenazah secara percuma sampai dah jenazah nenek saya selamat dihantar ke hospital untuk menjalani beberapa proses sebelum dikebumikan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Nik Mohd Faiz memberitahu, laluan berdekatan kawasan rumah itu mula dinaiki air sejak jam 10 malam pada Ahad.

Namun katanya, kira-kira 30 ahli keluarga yang tinggal berdekatan di Kampung Gaung sempat berkumpul di rumah neneknya pada petang Ahad.

"Buat masa ini, 30 ahli keluarga yang lain masih ada di rumah yang dinaiki air kerana hanya saya bersama jenazah dan tiga orang lain yang berjaya keluar untuk membawa jenazah ke hospital.

Artikel Berkaitan:

"Ahli keluarga lain masih terkandas. Saya harap bantuan segera sampai dan mereka semua dapat berpindah ke lokasi selamat kerana air semakin naik," katanya.

Keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 16,125 mangsa banjir di pindahkan di kesemua lapan daerah di Terengganu.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, semua mangsa dari 4,588 keluarga dipindahkan ke 206 buah PPS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!