Bomba nafi dakwaan sukarelawan dibenar sertai operasi SAR
BATANG KALI - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor menafikan dakwaan tular terdapat badan sukarelawan diberikan kebenaran menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, dakwaan tersebut berdasarkan satu gambar tular menyatakan badan sukarelawan tersebut diberikan kebenaran mencari mangsa yang terperangkap di lokasi kejadian.
JBPM Selangor menafikan ada memberikan kebenaran dalam apa jua bentuk kepada mana-mana sukarelawan awam atau individu menyertai operasi SAR ini.
"Ini selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) iaitu hanya anggota dan agensi menyelamat terlatih dibenarkan berada di zon merah.
"Antara agensi terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), Polis Diraja Malaysia(PDRM), Angkatan Tentera Malaysia(ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia(SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, pelbagai aspek diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan.
"Selain itu faktor lain melibatkan keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut dan hujan berkemungkinan berlaku.
"Faktor kemungkinan terjadinya runtuhan atau gelinciran tanah di lokasi kejadian turut diambil kira," katanya.
Menurutnya, kesemua keadaan ini memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan menghadapi situasi sukar dan tidak dijangka.
"Kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk menjalankan operasi," katanya.
Pada Isnin, tular gambar sekumpulan sukarelawan mendakwa dibenarkan melakukan operasi SAR di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!