Ahli Parlimen pembangkang tampil sedondon
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen blok pembangkang beragama Islam tampil sedondon memakai baju Melayu berwarna hitam dengan lengkap bersampin ketika mengangkat sumpah di Dewan Rakyat pada Isnin.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang bukan beragama Islam pula memilih memakai suit hitam.
Majlis angkat sumpah ahli Dewan Rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu diketuai Ahli Parlimen Larut merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Hamzah Zainudin.
Selepas melalui pelbagai episod politik pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 yang membuka tirainya hari ini bakal menjadi ujian pertama keutuhan Kerajaan Perpaduan di Dewan Rakyat.
Sementara itu, sesi pagi tadi menyaksikan bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu menggantikan Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Johari dipilih selepas memperoleh 147 undi melalui proses pengundian secara bersurat, calon mewakili blok pembangkang, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad pula mendapat 74 undi, manakala Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib tidak sempat membuat undian kerana dipercayai tiba lewat di Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!