Kashgar sangkar maya etnik Uighur

Penduduk etnik Uighur terpaksa melalui beberapa pos pemeriksaan yang ditempatkan di bandar Kashgar.
Penduduk etnik Uighur terpaksa melalui beberapa pos pemeriksaan yang ditempatkan di bandar Kashgar.
A
A
A

BEIJING - CHINA. Kashgar ialah sebuah bandar purba di barat laut China di mana ratusan ribu penduduk Uighur dan etnik Islam lain telah ditahan dalam kem tahanan hingga mencetuskan kecaman negara antarabangsa.

Tetapi, di luar kem tahanan itu, penduduk Uighur yang lain juga seperti hidup dalam 'sangkar maya'.

China telah membina jaring kawalan yang luas untuk menunjukkan visi Parti Komunis tentang autoritarian atau berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang.

Jiran-jiran kini menjadi pemberi maklumat, kanak-kanak disoal siasat dan masjid turut dipantau.

Petugas media asing yang melawat Kashgar beberapa kali untuk melihat sendiri keadaan di wilayah itu juga gagal untuk menemubual penduduk setempat kerana ia agak berisiko berikutan mereka sering diekori polis.

Sekatan ada di mana-mana dan polis lengkap bersenjata ditempatkan di pos pemeriksaan di kawasan didiami majoriti penduduk Uighur pada setiap jarak 100 meter.

Penduduk minoriti Islam terpaksa beratur panjang untuk menunjukkan kad pengenalan rasmi mereka dan di pusat pemeriksaan besar ada yang terpaksa mengambil gambar untuk dikenal pasti sebelum mereka boleh meneruskan perjalanan.

Kadangkala, polis sengaja memeriksa telefon bimbit penduduk Uighur untuk memastikan mereka memuat naik perisian yang memantau panggilan dan mesej. Xinjiang terletak di bahagian jauh barat China, namun ia dianggap sebagai sebahagian daripada Asia Tengah yang didiami etnik Islam Uighur, Kazakh dan Tajik melebihi majoriti penduduk etnik Cina, Han. Kebanyakan mereka menganuti Islam Sunni dengan bahasa dan budaya masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Rumah diserbu

"Setiap masa, kami ditahan anggota polis beruniform, memeriksa telefon kami dan memadamkan apa yang mereka anggap sebagai sensitif.

"Kadangkala apa yang mereka padamkan seakan-akan tidak masuk akal. Gambar unta juga dianggap sebagai bahan sensitif. Di China, tidak boleh tanya kenapa dan mengapa," rungut salah seorang penduduk etnik Islam di wilayah itu.

Tindakan pengawasan penduduk Uighur itu dilakukan di merata tempat.

Mereka sentiasa diperhatikan di kawasan kejiranan yang menjadi tempat tinggal golongan itu. Polis juga bebas menggeledah kediaman dan menyoal siasat penduduk Uighur.

Seorang penduduk etnik Islam dikenali sebagai Dilnur yang meninggalkan Kashgar ke Turki kira-kira tiga tahun lalu dan kini terputus hubungan dengan keluarganya di Xinjiang.

Tetapi, dia masih dapat mengingati kembali dengan jelas apa yang berlaku.

"Mereka tidak peduli, pihak berkuasa akan menggeledah rumah kami tidak kira waktu siang atau malam," ujarnya.

Selain itu, anak yang 'kehilangan' ibu bapa akibat ditahan turut dibawa ke rumah anak yatim.

Tidak pasti berapa jumlah mereka, namun data kerajaan pada tahun lalu menunjukkan 7,000 budak di Kashgar ditempatkan di pusat jagaan terbabit. Kamera pengawasan ada di mana-mana, di sepanjang jalan, kedai dan masjid.

Ia sentiasa memantau pergerakan penduduk, namun siapa yang melihat kesemua imej tersebut? Syarikat tempatan dapat mengaut keuntungan daripada teknologi pengawasan seumpama itu yang jelas menindas dan menyekat kebebasan etnik Uighur.

Langkah intimidasi itu sememangnya 'berjaya'. Kunjungan dilakukan media ke Masjid Id Kah yang terkenal di bandar itu mendapati hanya beberapa jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.

Beberapa tahun lalu, ia dikunjungi ribuan jemaah, namun situasi berubah kini akibat pengawasan ketat di wilayah terbabit dan jemaah masih diperhatikan walaupun ketika sedang solat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!