Hutan lipur di Kedah ditutup sementara

Notis penutupan sementara Taman Eko Rimba Bukit Wang di Kubang Pasu yang dikeluarkan oleh JPNK.
Notis penutupan sementara Taman Eko Rimba Bukit Wang di Kubang Pasu yang dikeluarkan oleh JPNK.
A
A
A

ALOR SETAR - Semua taman eko rimba, hutan taman negeri dan hutan simpanan kekal di negeri Kedah ditutup daripada sebarang aktiviti rekreasi sepanjang musim tengkujuh.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, JPNK mengambil keputusan untuk menutup sementara semua lokasi terbabit sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

Katanya, aktiviti rekreasi yang dimaksudkan adalah termasuk pendakian gunung, aktiviti sukan lasak berkenderaan dan lain-lain jenis aktiviti riadah.

"Penutupan sementara ini adalah untuk mengelak sebarang kemalangan disebabkan kejadian bencana atau kemalangan seperti pokok tumbang, tanah runtuh, kejadian lemas, fenomena kepala air dan sebagainya yang akan mengancam nyawa dan keselamatan orang awam serta pengunjung ke kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, taman eko rimba dan hutan taman negeri yang ditutup adalah di bawah pengurusan JPNK yang membabitkan Taman Eko Rimba Bukit Wang, Kubang Pasu; Taman Eko Rimba Puncak Janing, Padang Terap; Taman Eko Rimba Sungai Teroi, Yan dan Taman Eko Rimba Lata Mengkuang, Sik.

"Selain itu turut ditutup ialah Taman Eko Rimba Sungai Rambai, Pendang; Taman Eko Rimba Tupah, Kuala Muda; Taman Eko Rimba Bukit Hijau dan Lata Bayu di daerah Baling dan Taman Eko Rimba Ulu Paip, Kulim serta Taman Negeri Ulu Muda," katanya.

Taman Eko Rimba Bukit Wang di Kubang Pasu antara lokasi yang ditutup oleh JPNK.
Taman Eko Rimba Bukit Wang di Kubang Pasu antara lokasi yang ditutup oleh JPNK.

Muhamad berkata, berdasarkan rekod sehingga kini terdapat sebanyak 15 kawasan pendakian yang ditutup sementara bagi sebarang aktiviti pendakian iaitu Gunung Jerai, Gunung Kemerlong, Bukit Perak, Bukit Enggang, Bukit Saiong, Gunung Bintang, Bukit Besar Kulim, Bukit Batu Merah, Bukit Fakir Terbang, Bukit Air Terjun Lebai Husin, Bukit Kilim, Gunung Matchinchang, Bukit Selat Panchor, Gunung Raya (Tangga Helang Seribu) dan Bukit Batu Licin (Pulau Tuba).

Artikel Berkaitan:

"Penutupan sementara ini tidak termasuk taman eko rimba yang telah diswastakan kepada operator yang dilantik oleh kerajaan negeri.

"Sebanyak 10 taman eko rimba di Kedah yang diswastakan iaitu Taman Eko Rimba Pasir Tengkorak,Telaga Tujuh, Air Terjun Temurun, Tasik Dayang Bunting, Gua Cherita di Langkawi; Taman Eko Rimba Seri Perigi, Titi Hayun dan Batu Hampar di Yan; Taman Eko Rimba Perangin Sik dan Taman Eko Rimba Sungai Sedim di Kulim," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak JPNK menasihatkan supaya pihak syarikat dan operator memberhentikan pengoperasian buat sementara waktu di kawasan itu.

"Ini kerana tanggungjawab bagi menjaga keselamatan para pengunjung di taman eko rimba yang telah diswastakan adalah tertakluk kepada pihak operator masing-masing," katanya.

Muhamad menambah, JPNK tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang insiden kemalangan dan kecelakaan yang berlaku sepanjang musim tengkujuh ini.

"Pihak saya berharap agar semua para pengunjung mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh JPNK untuk keselamatan semua," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!