Peniaga berputih mata barangan jualan dihanyut arus

Barangan jualan peniaga dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di bandar Jertih pagi Isnin. - Foto Facebook
Barangan jualan peniaga dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di bandar Jertih pagi Isnin. - Foto Facebook
A
A
A

JERTIH - Seramai 20 peniaga barangan makanan di Pasar Jertih di sini hanya mampu melihat barangan jualan mereka dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir di bandar ini pagi Isnin.

Peniaga santan, Azizul Abdul Aziz, 40, berkata, sebaik menerima maklumat bahawa pasar mula ditenggelami air para peniaga bergegas ke kedai masing-masing seawal jam 6.30 pagi Isnin, namun untuk usaha menyelamatkan barangan perniagaan mereka gagal kerana paras air meningkat begitu pantas.

"Kami datang untuk menyelamatkan pelbagai jenis barang yang dijual seperti ikan masin, keropok dan lain-lain, tetapi kami terpaksa meninggalkan tempat itu kerana arus semakin deras dan air naik mendadak.

"Ada juga makanan yang berbungkus di dalam plastik seperti keropok ikan yang terapung berjaya diselamatkan orang ramai,” kata Azizul kepada Bernama sambil memaklumkan turut kehilangan sebuah peti sejuk dan peralatan perniagaan lain.

Peniaga barangan makanan kering, Zainab Zakaria, 43, pula berkata, kejadian banjir kali ini disifatkan yang terburuk di kawasan itu dalam tempoh lebih sepuluh tahun.

"Banjir hari ini lebih besar berbanding banjir yang berlaku pada 2014 berdasarkan kepada paras air naik lebih tinggi iaitu mencecah dua meter diikuti arus deras.

"Peniaga di sini tidak menyangka banjir seburuk ini dan petang semalam kami hanya meletakkan barangan jualan di atas meja kerana kebiasaanya air naik hanya paras paha,” katanya.

Menurutnya setakat ini, dia belum dapat mengenal pasti jumlah kerugian yang dialami memandangkan keseluruhan kawasan itu masih ditenggelami air termasuk dua kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di pasar itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: