Tanah runtuh: Anggota JBPM diberi sokongan moral

Pasukan JBPM bawa dua mayat yang ditemukan pada hari kedua di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya pada Sabtu. - Foto Bernama
Pasukan JBPM bawa dua mayat yang ditemukan pada hari kedua di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BATANG KALI - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diberikan sokongan moral, mental dan fizikal untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tanah runtuh di sini, Jumaat lepas.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia penting bagi memastikan mental dan fizikal anggota-anggota JBPM yang sedang bertugas terpelihara daripada mengalami ‘burnout’ atau lesu upaya.

Beliau berkata, pegawai-pegawai kanan jabatan itu sendiri memainkan peranan untuk memberikan sokongan moral kepada anggota di lapangan.

"Mereka kerja mengikut sistem pengiliran, rehat dan keperluan makanan perlu mencukupi.

"Sebab itulah kita ada kemudahan seperti tempat rehat, surau dan PKTK (Pos Kawalan Tempat Kejadian) di Red Zone dan Ground Zero (lapangan) supaya ketajaman, fokus, keselamatan dan kesihatan tidak terjejas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati cuaca mendung dan terdapat kenderaan anggota penyelamat keluar masuk di PKTK serta penambahan dua jentera jengkaut oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu, setakat ini menyaksikan 24 nyawa terkorban, sembilan lagi mangsa masih hilang dan 61 orang terselamat daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!