Jumlah mangsa banjir di Kuantan meningkat
KUANTAN - Bilangan mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 647 mangsa melibatkan 159 keluarga sehingga jam 4 petang berbanding 554 mangsa yang direkodkan jam 8 pagi pada Ahad.
Semua mangsa dari kawasan Beserah kini berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak tengah malam Ahad termasuk yang terbaharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, yang dibuka pagi Isnin.
Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, bilangan mangsa tertinggi berada di PPS SK Beserah dengan 226 mangsa daripada 50 keluarga diikuti PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung (201 mangsa, 50 keluarga).
Sementara itu, 109 mangsa daripada 31 keluarga berada di PPS SK Sungai Karang, PPS SK Sungai Ular (41 mangsa,10 keluarga), PPS SK Pelindung (38 mangsa, lapan keluarga) dan SK Cherating (32 mangsa, 10 keluarga).
Secara keseluruhan, terdapat 709 mangsa banjir di Pahang melibatkan 179 keluarga dengan sembilan PPS dibuka setakat ini.
Selain di Kuantan, tiga PPS di buka di daerah Raub iaitu di Dewan Kampung Pia (40 mangsa, 13 keluarga), Balairaya Kampung Pia (tujuh mangsa, dua keluarga) dan Balairaya Kampung Chenua (15 mangsa, lima keluarga).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!