Penduduk kecewa kejadian banjir kilat berulang
KUANTAN - Penduduk di Felda Bukit Goh dekat sini meluahkan kekecewaan apabila kediaman mereka sering kali dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat melanda.
Terbaharu beberapa rumah penduduk dinaiki air ekoran banjir kilat yang melanda kawasan itu pada malam Ahad dan mendakwa ia merupakan kejadian ketiga dilalui tahun ini serta berulang sejak 20 tahun lalu.
Kejadian itu didakwa berpunca daripada masalah perparitan yang gagal menampung air longkang dari kawasan penempatan tersebut hingga berlaku limpahan di kawasan rendah.
Salah seorang penduduk yang ditemui, Rosli Arshad, 50, berkata, kejadian pada malam Ahad itu berlaku kira-kira jam 8 malam dan surut beberapa jam kemudiannya.
Menurutnya, setiap kali hujan lebat dalam tempoh agak lama, dia sentiasa berada dalam kebimbangan dan perlu bersedia untuk menyelamatkan barang-barang bagi mengelak rosak terkena air.
"Ekoran kejadian banjir kilat yang berulang, saya terpaksa meninggikan lantai rumah dan malam tadi terpaksa bina tembok di pintu rumah bagi menyekat air masuk.
"Mujur ketika kejadian saya berada di rumah dan sempat menyelamatkan barang-barang," katanya yang tinggi di tanah rancangan itu sejak tahun 2001.
Rosli berkata, masalah itu telah diajukan kepada pelbagai pihak namun belum ada penyelesaiannya setakat ini.
"Kita minta longkang dan sistem pembetungan di kawasan ini dinaik taraf atau diperbesarkan agar dapat menampung aliran air deras dari kawasan berbukit tanpa menjejaskan rumah penduduk yang berada di kawasan rendah," jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Wan Ismail Wan Ali, 65, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian apabila mesin basuh dan motosikal milik pelanggan yang dibaiki di bengkelnya ditenggelami air dalam kejadian malam Ahad itu.
"Walaupun jumlah kerugian tidak begitu besar, namun jika masalah sama berterusan, ia akan menimbulkan masalah kepadanya dan penduduk lain yang terlibat.
"Puncanya adalah sistem perparitan sedia ada tidak lagi mampu menampung air jika hujan lebat.
"Di sini terdapat tiga longkang yang berakhir di kawasan pembetung agak kecil menyebabkan aliran air tersekat dan melimpah ke rumah penduduk," ujarnya.
Justeru, dia berharap berkaitan dapat memberi perhatian terhadap permasalahan itu dan menyelesaikannya dengan segera bagi mengelak kejadian banjir kilat terus berlaku sehingga menyusahkan penduduk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!