Banjir: TDM atur gerak anggota, aset di dua negeri
SHAH ALAM - Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengatur gerak anggota dan aset bagi membantu menyelamatkan mangsa-mangsa banjir khususnya kawasan yang terjejas di Kelantan serta Terengganu.
TDM menerusi hantaran di media sosialnya berkata, anggota daripada Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) telah diatur gerak bagi membantu memindahkan 10 orang mangsa banjir di Pasir Mas yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, pada Ahad.
Selain itu, Briged Kelapan Infantri Malaysia melalui Batalion ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) juga melaksanakan tugas mereka membantu menyelamat dan memindahkan 16 orang mangsa banjir.
"(Melibatkan tiga keluarga) dari Kampung Pengkal Kerdas ke PPS Tok Bok, Machang sekitar jam 8.30 malam Ahad.
"Bantuan pemindahan dilaksanakan berikutan paras paras air di kediaman mereka yang semakin meningkat selepas hujan lebat di kawasan tersebut," katanya.
Di samping itu, atur gerak Op Murni di bawah Appointed Military Commander (AMC) 8 Bgd juga giat dilaksanakan pada masa ini melalui bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir oleh Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (21 RAMD) di Kawasan Tanggungjawab (KTJ), Kota Bharu.
"Seramai lapan mangsa banjir membabitkan satu keluarga telah dipindahkan dari Kampung Tiong ke H Elite Hotel, Kota Bharu sekitar jam 11 pagi tadi," katanya.
Pasukan 18 RAMD (Para) juga dimaklumkan turut membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Bukit Perkat, Marang ke PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai.
"Seramai seorang pegawai dan enam anggota lain-lain pangkat (LLP) telah diatur gerak dalam bantuan menyelamat petang Ahad," ujarnya.
Lima jajahan di Kelantan dilaporkan dilanda banjir bermula awal pagi Ahad selepas hujan beserta angin yang berterusan sejak Sabtu.
Beberapa kampung di Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai telah mula dinaiki air.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 5,642 orang daripada 1,679 keluarga malam Ahad berbanding 3,320 orang daripada 975 keluarga pada petang Sabtu.
Manakala situasi banjir di Terengganu juga semakin serius apabila angka mangsa terjejas terus meningkat kepada 3,785 orang daripada 1,068 keluarga berbanding 1,866 orang daripada 512 keluarga petang Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!