'Banjir di Tumpat antara terburuk sejak 31 tahun lalu'
TUMPAT - Banjir yang melanda jajahan Tumpat susulan hujan lebat yang berterusan sejak Sabtu lepas, disifatkan penduduk antara yang terburuk sejak 31 tahun lalu, apabila paras air naik secara mendadak.
Penduduk Kampung Menjual, Nur Fatihah Abdul Rahim, 31, berkata, beliau tidak menyangka hujan sejak dua hari lepas menyebabkan kediamannya dinaiki air melebihi satu meter.
"Kali terakhir 'banjir besar' berlaku di kampung berkenaan pada 2014 iaitu ketika ‘bah kuning’, namun hanya beberapa rumah sahaja terjejas terutamanya di kawasan yang rendah.
"Namun, kejadian banjir kali ini adalah yang terburuk sejak 31 tahun lalu kerana arus air agak deras sehingga rumah saya dinaiki air.
"Saya sekeluarga segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kubang Batang pada 2 pagi semalam kerana tidak mahu perkara tidak diingini berlaku," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, penduduk dari Kampung Berangan Hujung Nor Azuralizma Ibrahim @Salleh, 40, berkata, beliau terkejut dan tidak menyangka air naik dengan begitu cepat dalam tempoh yang singkat.
"Pukul 11 malam semalam, saya lihat di luar kawasan rumah telah banjir sehingga mencecah bahu jalan raya, tetapi selang tiga jam kemudian perkarangan rumah saya sudah mencecah hingga paras dada.
"Saya serta suami Mohd Asri Awang, 52, terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Berangan 1 dengan meredah banjir sejauh satu kilometer untuk ke PPS berkenaan bersama anak untuk menyelamatkan diri dan membawa bersama dokumen penting sahaja," katanya.
Setakat 1 tengah hari tadi, sebanyak 10 sungai utama di Kelantan telah melepasi paras bahaya membabitkan enam jajahan iaitu Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat dan Bachok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!