Nasib 4 ADUN: Mahkamah Tinggi tetapkan keputusan 20 Januari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GEORGETOWN - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 20 Januari ini untuk memutuskan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang sah diguna pakai terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau sebaliknya.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Azizan Md Arshad menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam, Chetan Jethwani yang mewakili kesemua ADUN itu dan peguam, Surendra Ananth yang mewakili DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang.

"Setelah mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, saya menetapkan 20 Januari ini untuk membuat keputusan. Namun kedua-dua pihak berhak untuk hubungi saya untuk buat penambahan dalam hujahan bertulis sebelum tarikh keputusan," kata beliau.

Azizan turut memerintah kedua-dua pihak hadir ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan untuk mendengar keputusan.

Chetan dalam hujahnya berkata Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

"Dua anak guam saya dipecat daripada parti dan dua lagi masih kekal dalam parti, jadi Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak seharusnya terpakai," katanya.

Beliau berkata ketika Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Pakatan Harapan (PH) gabungan yang diwakili oleh empat ADUN itu juga tidak berdaftar sebagai parti politik.

Namun, Surendra berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan telah memutuskan DUN berhak menggubal undang-undang bagi menentukan kelayakan ahlinya.

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah Persekutuan juga memutuskan Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia selaras dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Jumaat lepas, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN Pulau Pinang itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN itu daripada meluluskan usul undang-undang anti lompat parti.

Pada 2020, empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!