Malaysia perlu alih ekonomi berasas teknologi, digital, inovasi
Rafizi
A
A
A
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli berkata, ini penting bagi memastikan negara dapat memperoleh sumber pendapatan yang lebih kukuh serta pelbagai.
"Saya berharap dalam tempoh lima tahun ini, kita dapat mengalih kebergantungan kerajaan daripada beberapa sumber kewangan sahaja kepada kombinasi sumber pendapatan yang lebih kukuh, mampan, pelbagai serta progresif,” katanya pada sesi perbahasan Usul Undi Percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan untuk Malaysia membina ekosistem ekonomi yang adil untuk pekerja dan diberi upah setimpal dengan kelayakan serta pengalaman agar negara mempunyai peluang mobiliti serta kebolehpasaran sehingga ke peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting bagi kerajaan atau kumpulan pembuat keputusan untuk melaksanakan anjakan-anjakan strategi yang sukar dalam tempoh lima tahun ini serta dalam keadaan ekonomi dunia dan tempatan yang mencabar.
"Kita perlukan kestabilan politik kerana perlu membuat beberapa keputusan yang cukup sukar dalam keadaan ekonomi global ini,” katanya.
Mohd Rafizi berkata, pada masa sama Malaysia juga memerlukan kerajaan yang mempunyai aspek timbang tara serta bebas dalam menjalankan tugas masing-masing termasuk institusi kehakiman, Parlimen dan kerajaan.
Menurutnya, selain dlindungi, aspek kebebasan institusi-institusi itu juga perlu diperkasa dan diupaya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkongsi kebimbangannya mengenai pertumbuhan ekonomi negara yang kian menguncup dalam tempoh 2018 hingga 2021.
Malah, katanya, berdasarkan data jumlah siswazah yang dikeluarkan negara berbanding bilangan penawaran pekerjaan baharu oleh pihak swasta dalam tempoh empat tahun tersebut, Malaysia ternyata tidak mempunyai pertumbuhan ekonomi yang mampan.
"Dalam membangunkan pertumbuhan ekonomi, kita tidak boleh lari daripada elemen pertumbuhan pelaburan dan penggunaan yang mengembang. Tapi bila melihat antara kedua-dua elemen ini, jumlah graduan (siswazah) dan pekerjaan baharu semakin menguncup," katanya pada sesi perbahasan sama.
Johari berkata, bilangan siswazah pada 2018 adalah sebanyak 299,000 berbanding pekerjaan baharu sebanyak 101,000; 2019 seramai 386,000 orang berbanding 103,000 pekerjaan baharu; 2020 sebanyak 294,000 orang dan 73,000 pekerjaan baharu manakala 2021 menyaksikan 286,000 orang berbanding hanya 69,500 pekerjaan baharu.
Bekas Menteri Kewangan II pada 2016 itu juga bimbang mengenai jumlah hutang negara yang semakin meningkat dengan tempoh 2018-2021 iaitu bertambah hampir RM400 billion sehingga mencecah RM1.2 trilion.
"Pada 2017, kita membayar kadar faedah hanya RM27.9 bilion tetapi pada 2022, pembayaran faedah mencecah RM43 bilion. Apa yang membimbangkan saya, ini akan menjejaskan negara dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!