Gereja Notre Dame di Paris terbakar
PARIS - PERANCIS . Warga Perancis dikejutkan dengan kebakaran besar yang memusnahkan Gereja Notre Dame di Paris, salah satu mercu tanda terkemuka di negara itu.
Kebakaran yang berlaku kira-kira jam 5.50 petang semalam (waktu tempatan) memusnahkan sebahagian besar bumbung gereja yang diperbuat daripada kayu serta menara utamanya.
Anggota bomba dilaporkan masih berusaha mengawal kebakaran sementara pasukan penyelamat cuba menyelamatkan hasil karya seni yang ditempatkan di dalam bangunan berusia 850 tahun itu.
Menurut Ketua Bomba Paris Jean-Claude Gallet, struktur utama gereja berjaya diselamatkan daripada kemusnahan teruk akibat kebakaran tersebut.
Sementara itu, Presiden Emmanuel Macron menggelar kebakaran tersebut sebagai satu tragedi.
Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan namun pihak berkuasa berkata ia mungkin mempunyai kaitan dengan projek pengubahsuaian yang sedang dijalankan.
Dibina pada sekitar kurun ke-12, Gereja Notre Dame yang dikunjungi jutaan pelancong setiap tahun itu turut menempatkan pelbagai karya seni berharga. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!