Tragedi Batang Kali: Operasi SAR utamakan keselamatan anggota
BATANG KALI - Pergerakan anggota pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini dikurangkan bagi memastikan keselamatan semua pihak berada pada tahap yang terbaik.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, langkah itu diambil bagi memastikan supaya ancaman kepada anggota pasukan penyelamat dikurangkan.
"Operasi SAR tetap diteruskan dengan berhati-hati dalam memastikan keselamatan semua anggota yang terlibat.
"Jumlah anggota pasukan penyelamat tidak dikurangkan, jumlahnya sama seperti sebelum ini, namun kita mengurangkan dari segi pergerakan anggota," katanya dalam sidang akhbar di lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini pada Isnin.
Katanya, setakat ini belum terdapat sebarang perkembangan terbaharu dalam usaha pencarian yang dilakukan.
Pada Jumaat, seramai 94 mangsa terlibat dalam runtuhan tersebut terdiri pengunjung juga pekerja di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting- Batang Kali di sini.
Setakat ini, seramai 24 mangsa dilaporkan meninggal dunia dan 9 lagi individu dipercayai masih lagi hilang manakala 61 individu terselamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!