ADUN Gombak Setia selami keresahan penduduk

Hilman menjelaskan mengenai isu yang melanda penduduk di Taman Mutiara Gombak 2.
Hilman menjelaskan mengenai isu yang melanda penduduk di Taman Mutiara Gombak 2.
A
A
A

PADA 4 April lalu, penduduk di Taman Mutiara Gombak 2 cemas dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kediaman mereka retak dan beberapa tembok rumah runtuh.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada projek pembangunan giat dilaksanakan berhampiran kawasan terbabit yang mengakibatkan lebihan air ketika hujan.

Lebih menyedihkan, penduduk terlibat perlu menanggung kerugian yang tinggi susulan masalah keretakan dan runtuhan tembok.

Susulan kejadian itu, ADUN Gombak Setia, MUHAMMAD HILMAN IDHAM turut prihatin dengan nasib malang menimpa penduduk terlibat dan mengambil beberapa pendekatan bagi membantu penduduk terlibat.

Ikuti wawancara Sinar Harian bersama wakil rakyat itu yang berkongsi dengan lebih lanjut mengenai punca dan langkah-langkah diambil dalam menangani isu tersebut.

Apakah punca kejadian banjir kilat di Taman Mutiara Gombak 2?

MUHAMMAD HILMAN: Kejadian yang berlaku adalah berpunca daripada pembangunan rancak di sekitar kawasan terbabit, khususnya Projek Pelebaran Lebuhraya Lingkaran Tengah (MRR2) dan Projek Pembangunan Kediaman. Ketiga-tiga kawasan ini berada pada aras tapak pembangunan yang berbeza.

Fenomena perubahan cuaca mengakibatkan taburan hujan yang tinggi pada masa singkat dan mengakibatkan lebihan air daripada Projek Pelebaran MRR2 melimpah ke tapak projek dan akhirnya mengakibatkan bencana kepada Taman Mutiara Gombak 2.

Artikel Berkaitan:

Hal ini berlaku akibat daripada kegagalan pemaju untuk mematuhi syarat-syarat pemajuan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Apakah tindakan YB sebaik kejadian ini berlaku?

MUHAMMAD HILMAN: Kawasan kediaman Taman Mutiara Gombak ini bukanlah asing kepada saya. Saya sering berkunjung ke kawasan tersebut untuk bersama-sama dengan masyarakat di sana, khususnya Komuniti Surau Al-Mukmin yang menjadi wadah kepada aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.

Kejadian tersebut berlaku pada petang, 4 April lalu dan kira-kira jam 4.45 petang, saya telah dimaklumkan oleh warga setempat tentang kejadian banjir kilat yang berlaku sehingga mengakibatkan berlaku keretakan pada struktur kediaman dan beberapa tembok telah runtuh.

Oleh sebab itu, saya segera menghubungi Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan mencadangkan supaya Notis Memberhentikan Kerja di tapak projek dapat dikeluarkan serta-merta bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk Taman Mutiara Gombak 2.

Alhamdulillah, MPS telah mengambil tindakan yang cukup pantas untuk mengeluarkan notis tersebut dan saya turut mengarahkan supaya Jabatan Kejuruteraan MPS supaya segera turun padang pada petang kejadian itu untuk memastikan segala langkah susulan sewajarnya dapat diambil serta-merta.

Limpahan air memenuhi pekarangan kawasan kediaman penduduk.
Limpahan air memenuhi pekarangan kawasan kediaman penduduk.

Difahamkan YB telah mengadakan pertemuan dengan semua agensi terlibat untuk mencari penyelesaian terhadap isu ini. Apakah usaha yang telah diambil ?

MUHAMMAD HILMAN: Mesyuarat dan lawatan tapak bersama agensi-agensi teknikal seperti JPS Gombak, Jabatan Kerja Raya (JKR) Gombak, JKR Cawangan yang mengurus Projek MRR2, MPS, pemaju, Jurutera Perunding Profesional dan penduduk Taman Mutiara Gombak 2. Perjumpaan diadakan dua kali iaitu pada 8 dan 9 April lalu dan hasil perbincangan daripada lawatan tapak dan perbincangan tersebut, kita telah mengarahkan supaya pemaju mengambil tindakan penyelesaian jangka masa pendek dengan kadar segera. Pemaju juga akur dan bersetuju untuk membina 'cut of drain' dan kolam mendapan baharu yang akan disalirkan langsung ke longkang sedia ada ada di Jalan Anjung Melati.

Pemaju juga akan mendirikan tembok penahan 'reinforce concrete' bagi menyambungkan tembok pagar perumahan Taman Mutiara Gombak bersama tembok penahan yang sedia ada di tapak dan memasang 'sand bag' setinggi 1.5 meter dengan 20 meter panjang melalui cadangan diusulkan oleh Jurutera Perunding Profesional yang dilantik oleh pihak pemaju.

Perkara ini turut diteliti dan dipersetujui JPS Gombak yang bertindak sebagai pakar rujuk. Selain daripada itu, JKR melalui projek melebarkan MRR2 juga bersetuju mengemukakan cadangan mengalihkan aliran air yang selama ini melalui tanah individu ke arah bertentangan iaitu ke arah Sungai Gombak. Pelaksanaan ini akan mengurangkan risiko lebihan air melimpah ke kawasan yang lebih rendah termasuk ke kawasan projek perumahan dan Taman Mutiara Gombak.

Kos anggaran ini juga dikemukakan salinannya kepada Pejabat DUN Gombak Setia bagi pemakluman dan akan saya angkat kepada pihak Kementerian Kerja Raya. Pada masa yang sama, kerja-kerja mitigasi oleh pihak pemaju telah pun dimulakan di tapak sejak 10 April lalu.

Apakah tindakan yang harus dilaksanakan oleh pemaju untuk jangka masa panjang?

MUHAMMAD HILMAN: Bagi langkah jangka panjang, pihak pemaju dikehendaki mematuhi syarat-syarat pemajuan oleh JPS Gombak terlebih dahulu. Saya juga telah mengingatkan pihak MPS supaya tidak menarik semula notis henti kerja sehingga semua langkah-langkah yang dipersetujui tadi selesai dilaksanakan.

Kerugian dialami penduduk didakwa mencecah ratusan ribu ringgit. Siapa yang akan bertanggungjawab dalam perkara ini?

MUHAMMAD HILMAN: Dalam perbincangan saya bersama dengan MPS dan pemaju, pihak pemaju telah memberi jaminan bahawa segala kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka melalui 'Insurans Public Liability' pemaju.

Ia selaras dengan kegagalan pemaju sendiri mengawal selia pembinaan di tapak terlibat. Pada masa sama, infrastruktur kediaman penduduk yang mengalami keretakan atau roboh, semuanya sedang dibaiki oleh pihak pemaju. Insya-ALLAH ia akan siap tempoh masa singkat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!