Cara dakwah perlu sesuai keadaan
ZAKIR Naik memang mempunyai ilmu perbandingan agama yang jauh lebih hebat daripada Allahyarham Tunku Abdul Rahman. Zakir yang hafal ribuan ayat al-Quran dan Bible sudah pasti merupakan jaguh dialog interfaith.
Tetapi adakah ini bermakna kaedah dakwah Zakir lebih hebat? Metod Zakir sudah ditolak di Sarawak dan negaranya sendiri iaitu India. Tetapi metod Ahmad Deedat, guru Zakir Naik, berjaya memperkasakan Muslimin di Afrika. Cara dakwah perlu sesuai pada keadaan.
“Berdakwahlah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah An-Nahl: 125)
Ayat ini menjelaskan tiga cara dakwah iaitu dengan hikmah, nasihat yang efektif dan perbahasan beradab. Mega trend dakwah terkini lebih memberi fokus kepada memberi nasihat seperti ceramah motivasi dan perbahasan seperti dialog interfaith. Tetapi ayat dakwah ini bermula dengan cara hikmah. Ibn Kathir mentafsirkan hikmah di sini merujuk kepada segala apa yang diturunkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Ash-Shafi’i mentafsirkan hikmah merujuk kepada sunnah Nabi SAW. Maka, dakwah secara hikmah adalah lebih menyeluruh daripada nasihat dan perbahasan kerana ia merangkumi segala strategi yang terkandung dalam Sirah Nabi SAW.
Bila kita memahami dakwah sebagai seruan secara hikmah, maka kita akan mengenali Tunku sebagai pendakwah yang jauh lebih hebat daripada Zakir Naik. Seruan Tunku ke arah kemerdekaan adalah seruan dakwah berhikmah. Kemerdekaan negara membuka peluang dakwah yang luas tanpa perlu meminta izin daripada penjajah Kristian untuk berdakwah.
Inilah sebab Tunku tegas menegakkan Islam sebagai agama Persekutuan sebagai syarat kemerdekaan.
Tunku juga menubuhkan Perkim sebagai organisasi dakwah multibudaya kerana Islam bukan untuk Melayu sahaja. Walaupun Tunku multibudaya perspektif, tetapi Tunku sedar bahawa Melayu adalah paksi kepada roh Islam kerana ia adalah kaum yang paling awal peluk Islam dan raja-raja semua adalah Muslimin.
Jasa Melayu sebagai “Salaf” di Malaysia diiktiraf oleh Tunku sebagai salah satu hikmah yang besar dalam dakwah. Quraisy terima Islam dengan peperangan tetapi Melayu terima Islam dengan hati terbuka tanpa sebarang pertumpahan darah!
Maka, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa definisi Melayu semestinya beragama Islam.
Kalau Ahmad Deedat mempunyai Zakir Naik sebagai protegenya, Tunku mempunyai protege-protege yang jauh lebih ramai dan berkarisma seperti Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun (bekas Ketua Menteri Sabah) dan Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub (bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Sarawak).
Kalau kita terpegun 10 orang peluk Islam di ceramah Zakir Naik, jangan lupa sejarah kita sendiri bahawa kedua-dua protege Tunku ini berjaya dengan izin ALLAH SWT menyeru satu kampung sama ada di Sabah atau Sarawak iaitu ratusan peluk Islam dalam sehari!
Kita lupa Tunku berjaya dengan izin ALLAH SWT menyeru Donald Stephens (bekas Ketua Menteri Sabah) dan Ong Yoke Lin (bekas Timbalan Presiden MCA) memeluk Islam.
Jangan lupa Tunkulah yang menjadi Setiausaha Terhormat pertama bagi OIC. Bahkan beliaulah yang pertama timbulkan idea penyatuan semua negara Muslimin melalui OIC.
Dari segi ini, pandangan beliau lebih luas daripada Soekarno yang hanya mahu menubuhkan Indonesia Raya.
Perjuangan dakwah Tunku banyak seperti melawan komunis, bersaing dengan usaha Lee Kuan Yew untuk menyamaratakan semua agama, menghadapi isu rasisme sebelum dan selepas 13 Mei, menyatukan Sabah Sarawak dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Benar, Tunku bukan insan yang sempurna dan beliau mengaku kelemahannya. Tetapi ini tidak menafikan ketokohan dan kaedah dakwah Tunku sebagai paling efektif di Malaysia.
* Abdul Naser Tun Rahman ialah Tokoh Pendakwah Perak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!