Tragedi tanah runtuh: Srikandi APM sahut cabaran

Antara srikandi APM yang terlibat dalam misi mencari mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
Antara srikandi APM yang terlibat dalam misi mencari mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.
A
A
A

BATANG KALI - Anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sahut cabaran dalam usaha membantu misi mencari dan menyelamat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, di sini.

Menceritakan detik itu, Pegawai Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) APM, Leftenan Muda Pertahanan Awam Amirah Syahirah Mohd Nor berkata, menjalankan tugas operasi bersama anggota lelaki tidaklah janggal baginya tetapi satu cabaran yang harus ditempuhi selamanya.

Menurut pegawai berusia 23 tahun itu, beliau antara petugas wanita yang berada di lokasi bencana seawal hari pertama.

"Sebagai pasukan khas, kami telah dilatih untuk melakukan tugas khusus tanpa mengira jantina kerana apa-apa saja bentuk bencana atau situasi, haruslah dibantu tanpa memikirkan alasan yang tidak logik.

"Setelah tiga hari berada di sini, kami semakin serasi bertugas sesama pasukan penyelamat dan kesemuanya saling membantu walaupun baru sahaja bertemu di lokasi bencana.

"Sememangnya kerjasama sesama pasukan, walaupun berbeza uniform dan pangkat tetap mengutamakan mangsa bencana dalam memastikan tugasan yang diamanahkan akan dilaksanakan sebaiknya," ujarnya.

Kata Amirah Syahirah, memang agak sukar melaksanakan tanggungjawab berbanding lelaki, sebagai contoh asas seperti ke bilik air, tidur, mengemaskan diri atau solat yang mana ia memerlukan lokasi yang sesuai.

Namun, katanya, Alhamdulillah, hari pertama mungkin agak sukar, tetapi setelah semuanya ditambah baik, petugas penyelamat mendapat kemudahan yang selesa untuk membersihkan diri atau pun rehat melepaskan lelah setelah bertugas.

Artikel Berkaitan:

Amirah Syahirah (kanan) bersama rakan sepasukan ketika menjalankan tugas mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali.
Amirah Syahirah (kanan) bersama rakan sepasukan ketika menjalankan tugas mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali.

"Kita bersyukur sepanjang perjalanan operasi menyelamat, semua pihak pengurusan bencana di sini berusaha memperbaiki kemudahan para penyelamat dalam memastikan kesemua kemudahan kami termasuk makan dan minum terjaga," ujarnya.

Tambahnya, sebagai anak perempuan, pastinya menjadi kerisauan keluarga kerana bertugas di luar apatah lagi terbabit dalam operasi menyelamat.

"Tetapi saya telah menjelaskan keinginan untuk menjadi penyelamat yang berisiko untuk sebarang kemungkinan kemalangan.

"Keluarga saya akur dan merestui kerja yang saya impikan ini," katanya.

Ujarnya, diharap kesemua mangsa berjaya diselamatkan walaupun kebarangkalian untuk mangsa yang hidup agak tipis, tetapi tidak salah untuk mengharapkan yang terbaik dan mungkin adanya keajaiban.

"Saya juga mengharapkan semua pasukan penyelamat jangan berputus asa dan teruskanlah usaha mencari kesemua baki mangsa sehingga ditemui," katanya.

Dalam pada itu, Amirah turut menggalakkan kaum hawa untuk turut menyertai pasukan penyelamat sepertinya bagi membuktikan wanita juga mampu menjadi penyelamat yang hebat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!