Pemuda maut, dua warga emas cedera dalam kemalangan
BATU PAHAT - Seorang pemuda maut manakala dua warga emas cedera selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Taman Bukit Flora 17, di sini pada Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II Shamsul Hazri Saaban berkata, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan jam 8.36 malam.
Kemalangan melibatkan kereta jenis Perodua Kancil dan Perodua Bezza. Mangsa, Poo Chun Keat, 27, yang menaiki Perodua Bezza cedera parah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.
"Sementara pemandu dan penumpang Kancil, Kee Soon Leong, 70, dan Koh Sok Hoon, 62, tersepit di tempat duduk masing-masing," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pihak bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa tersebut dengan menggunakan peralatan khas sebelum dihantar ke hospital dengan menaiki EMRS dan ambulan untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, operasi menyelamat mangsa selesai pada jam 9.40 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!