Sambutan besar wira Piala Dunia Argentina
IBU kota Argentina sudah bersedia untuk sambutan besar-besaran kepulangan hero Piala Dunia mereka selepas kemenangan penuh dramatik ke atas Perancis di perlawanan akhir Piala Dunia Qatar pada Ahad.
Argentina menang aksi final di Qatar 4-2 menerusi penalti selepas terikat 3-3 selepas tamat masa tambahan dalam perlawanan disifatkan penuh dramatik dalam sejarah Piala Dunia.
Pasukan itu akan diberikan sambutan tersebut selepas mendarat di Lapangan Terbang Ezeiza di Buenos Aires dijangka jam 2 pagi waktu tempatan hari ini.
"Skuad juara dunia akan berlepas pada tengah hari Selasa ke Obelisk untuk meraikan kejuaraan dunia bersama peminat," kata Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam akaun Twitter rasminya.
Kerajaan Argentina juga mengisytiharkan hari sambutan itu sebagai hari cuti supaya seluruh negara dapat meraikan dan menyatakan kegembiraan mereka untuk pasukan kebangsaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!