Gara-gara lilin, rumah mangsa banjir hangus dijilat api
PASIR MAS - Gara-gara sebatang lilin, sebuah keluarga di Kampung Tok Sangkut di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus pada Isnin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Rosdi Daud, 39, bertindak memasang lilin selepas bekalan elektrik terpaksa dipotong apabila kawasan tersebut ditenggelami banjir.
Rosdi berkata, semasa kejadian hanya dia dan bapanya, Daud Yusuf, 79, berada di rumah tersebut, manakala isteri serta tiga anaknya pulang ke kampung di Johor.
"Semasa kejadian, saya hanya terlelap sekejap kemudian dikejutkan dengan haba panas.
"Apabila tersedar saya lihat api sedang marak. Saya cuba padamkan kebakaran menggunakan air tetapi api semakin besar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Rosdi, tanpa berlengah dia terus membawa bapanya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Dia yang bekerja kampung hanya mampu melihat rumah hangus dijilat api tanpa sempat menyelamatkan sebarang harta benda.
Ujarnya, dia dan bapanya telah dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana kawasan kampung dinaiki air.
"Saya tidak menolak kemungkinan lilin yang dipasang itu terbalik menyebabkan rumah saya terbakar," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Rosdi Daud, 151100988720.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.12 malam.
"Setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati sebuah rumah sudah musnah sebanyak 90 peratus akibat kebakaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!