Tanah runtuh: Hari kelima SAR, masih tiada petunjuk positif

Suffian (tengah) semasa bercakap pada sidang media di lokasi kejadian pada Selasa.
Suffian (tengah) semasa bercakap pada sidang media di lokasi kejadian pada Selasa.
A
A
A

BATANG KALI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini yang masuk hari kelima pada Selasa, terus menemui jalan buntu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, operasi SAR diteruskan bermula jam 8 pagi selepas dihentikan sekitar jam 12 tengah malam semalam.

Menurutnya, dalam operasi pada Isnin, pasukan penyelamat menemui lima titik yang dipercayai kedudukan mangsa namun tiada perkembangan positif selepas penggalian dilakukan di lokasi berkenaan.

"Setakat jam 12 tengah malam tadi operasi mencari dan menyelamat dijalankan namun masih tiada perkembangan positif.

"Operasi SAR diteruskan hari ini pada jam 8 pagi dengan kekuatan seramai 115 pegawai dan anggota daripada agensi berkenaan," katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, pada Selasa.

Suffian berkata, operasi SAR diteruskan dengan bantuan 11 excavator dan dua ekor anjing unit pengesan (K9).

Katanya, pihak polis masih dalam usaha mengenal pasti mangsa terlibat dan akan mendedahkan identiti mangsa yang hilang dalam masa terdekat.

"Waris yang mana ada kehilangan keluarga saya seru mereka terus ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan.

Artikel Berkaitan:

"Mereka tidak perlu pergi ke balai di sini (Batang Kali), mana-mana balai berdekatan pun boleh supaya kami boleh menyelaras perhubungan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha mengenal pasti mangsa, polis telah mengesan pemilik dua buah kenderaan di lokasi kejadian.

"Sebuah kereta merupakan milik pekerja ladang manakala sebuah lagi didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Kami sedang menyemak dengan syarikat berkenaan berhubung siapa pemilik kenderaan berkenaan," ujar beliau

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!